Ini 3 Faktor Kejayaan Melaka United Mengikat JDT Walaupun Tampil Serba Kekurangan

Melaka United nyata berjaya mengetepikan pendapat pemerhati-pemerhati bola sepak tempatan dalam perlawanan semalam walaupun pada awalnya dicanang bakal dibelasah oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat Paya Rumput semalam, nyata skuad kendalian Asri Ninggal berjaya memberi persembahan yang menarik untuk mengimbangi kekuatan lawan dari pelbagai aspek.

Walaupun pada awalnya pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Leandro Velazquez pada minit ke-27, Melaka United cepat memadam kelebihan tersebut dengan kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Justin Baas di penghujung separuh masa pertama.

Ini ada tiga faktor kejayaan skuad kendalian Asri Ninggal untuk mengikat JDT walaupun hadir dengan tiga pemain import sahaja.

Disiplin dan fokus di jentera pertahanan

Walaupun jelas JDT tampil dengan aksi kebiasaan mereka untuk memberi penekanan di posisi serangan, Melaka United dilihat bersedia untuk menyerap asakan tersebut serta cepat menutup walau sedikit ruang terbuka untuk tidak membiarkan pelawat membuat lebih banyak pergerakan.

Ketiadaan Bergson da Silva juga nyata memberi kelegaan buat tuan rumah apabila JDT dilihat sukar untuk membuat umpanan kepada pemain yang mampu menghasilkan gol dalam petak penalti.

Forestieri juga nyata lebih banyak berlegar di luar kotak penalti untuk menjana pergerakan ke arah gol, maka setiap umpanan dibuat oleh mereka sedikit sukar untuk atasi disiplin pertahanan tuan rumah.

Kecemerlangan See Tian Keat selaku penjaga gawang gol

Bryan nyata mempamerkan aksi cukup cemerlang pada perlawanan semalam selaku penjaga gol tuan rumah sepanjang masa permainan.

Tampil dengan aksi yang tangkas serta tidak gugup berdepan cabaran lawan, nyata pemain ini secara tidak langsung juga berjaya menaikkan motivasi para pemain lain untuk terus fokus dalam perlawanan semalam.

Penjaga gol ini juga tampil positif untuk menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya daripada pihak lawan dan memberi masalah buat JDT untuk mendapatkan lebih banyak gol.

Gandingan Adriano dan Sony Norde cemerlang

Walaupun lebih kerap bertahan, sesekali tuan rumah juga turut tampil memberi impak ketika situasi serangan balas.

Adriano nyata menjadi kunci utama buat Melaka United ketika situasi serangan dilancarkan kerana pemain ini memiliki skil kawalan bola yang baik serta bijak membuay hantaran ke depan.

Sony Norde juga antara punca mengapa JDT gagal memperoleh tiga mata penuh. Menerusi hantaran pemain ini dari sebelah tepi menjadi sebab Justin Baas berjaya menemui gol penyamaan perlawanan.

Kedua pemain ini juga rajin turun ke bawah untuk membantu pertahanan dan tidak berlengah untuk terus mara ke hadapan sekiranya mendapat peluang serangan.

Kesimpulan

Ini bukanlah satu perlawanan yang cemerlang sepenuhnya dipamerkan oleh Melaka United, namun puncanya juga terletak buat JDT yang dilihat sedikit buntu malam ini dalam permainan.

Ketiadaan Bergson nyata merencatkan sedikit ketajaman serangan mereka dan Safawi gagal memberi impak terbaik sepanjang perlawanan.

Namun, mereka tetap tiada masalah untuk mempamerkan karakter selaku pasukan juara apabila masih lagi tidak tewas dan tidak keciciran mata.

Melaka United pula wajar mengekalkan konsistensi mereka pada perlawanan akan datang dan pemilihan Asri Ninggal selaku pengendali baharu bukanlah sia-sia kerana banyak perubahan berjaya dicipta beliau bersama pasukan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN