Liga Super: JDT Gagal Ambil Kesempatan Atasi Melaka United Yang Tampil Serba Kekurangan

Johor Darul Ta’zim gagal untuk memanfaatkan peluang mereka di Stadium Hang Jebat Paya Rumput bagi mencatat kemenangan mengatasi Melaka United apabila sekadar terikat seri 1-1 dalam aksi yang agak mendebarkan.

Walaupun tampil tanpa kelibat Ifedayo dan beberapa lagi tonggak, Melaka United dilihat tidak bermasalah untuk atasi perkara tersebut dengan corak permainan yang berdisiplin bagi menghadapi pelawat.

Seawal lima minit perlawanan menyaksikan kedua pasukan seimbang dalam menjana gerakan ke kubu pertahanan lawan masing-masing biarpun pelawat dilihat sedikit berkelebihan menggerakan serangan.

Melaka United mendapat peluang untuk memperoleh gol pertama mereka setelah 10 minit permainan berlangsung, namun beberapa percubaan dibuat masih belum dapat menguji Farizal Marlias sepenuhnya.

Setelah 20 minit perlawanan berlangsung, tidak banyak dapat diperkatakan apabila bola lebih banyak berlegar di kawasan tengah dengan tempo permainan dipamerkan agak perlahan.

Leandro Velazquez berjaya membuka jaringan pertama buat JDT pada minit ke-27 setelah menerima umpanan cantik daripada Safawi Rasid dalam petak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah.

Pada minit ke-38, Justin Baas berjaya membuka jaringan penyamaan buat tuan rumah setelah menerima umpanan cantik daripada Sony Norde dari sebelah kanan untuk kembali menghidupkan peluang dalam perlawanan tersebut dengan keputusan semasa 1-1.

Walaupun kedua pasukan ada mencipta beberapa peluang lagi untuk menjarakkan kedudukan masing-masing, nyata keputusan kekal sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.

Melaka United dilihat berjaya memperbaiki aspek serangan mereka dengan lebih baik di separuh masa kedua dengan lebih tenang menyusun gerakan menerusi Adriano dan Sony Norde untuk memburu gol pendahuluan.

Namun, kekebalan benteng pertahanan JDT nyata menyukarkan kedua pemain tersebut untuk menerja masuk ke dalam petak penalti bagi mencipta sesuatu.

Sesekali JDT tampil dengan serangan berbahaya yang agak mencemaskan kubu pertahanan tuan rumah, namun kecemerlangan Tian Keat See menjaga gawang berjaya mengecewakan pelawat.

Melaka United hampir mendapat gol kedua mereka pada minit ke-82 apabila penyerang mereka iaitu Sony Norde berjaya melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti sebelum ditepis keluar oleh Farizal Marlias.

Penjaga gol Melaka United nyata cemerlang di penghujung perlawanan apabila berjaya menyelamatkan satu percubaan berbahaya daripada Forestieri dari luar kotak penalti dengan melayangkan badan untuk menepis bola keluar pada minit ke-89.

Keputusan kekal tamat dengan kedua pasukan saling mengutip satu mata walaupun ada beberapa peningkatan dicipta pelawat bagi mengatasi Melaka United.

Dengan keputusan seri tersebut, pastinya Asri Ninggal paling lega setelah mereka hadir dengan serba kekurangan walaupun beraksi di laman sendiri.

Kesebelasan utama Melaka United:Tian Keat See (Penjaga Gol), Ahmad Haziq Ahmad Puad, Mikel Justin Cagurangan Baas, Norshahrul Idlan Talaha, Sony Norde (Kapten Pasukan), Khairul Anwar Shahrudin, Muhammad Fadhil Idris, Wan Amirul Afiq Wan Abd Rahman, Mohd Syukri Baharun, Adriano Aparecido Narcizo, Mohamad Hasbullah Abu Bakar

Kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim: Mohd Farizal Marlias (Penjaga Gol) (Kapten Pasukan), Matthew Thomas Davies, Bergson Gustavo Silveira da Silva, Leandro Sebastian Velazquez, Shane Thomas Lowry, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Ignacio Insa Bohigues, Shahrul Mohd Saad, Arif Aiman Mohd Hanapi, Fernando Martin Forestieri

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN