Ini 10 Penyerang Tempatan Yang Ikonik Di Liga Malaysia Termasuk Safee Sali

Safee Sali penyerang ikonik tempatan Liga Malaysia

Safee Sali akhirnya bersara daripada dunia bola sepak profesional dan beliau adalah antara 10 penyerang tempatan yang ikonik di Liga Malaysia.

Walaupun dengan keberadaan penyerang import, pemain tempatan ini tetap melekat di hati para penyokong menandakan yang mereka ini sangat ikonik serta istimewanya mereka di mata para pengikut saingan liga tempatan.

Selepas melalui hampir 20 tahun karier bola sepak profesional, Safee akhirnya melabuhkan sauhnya selepas kali terakhir tampil bersama KL City FC pada musim lalu. Penampilan terakhirnya adalah di pentas final Piala AFC ketika The City Boys tumpas 0-3 kepada Al-Seeb pada Oktober 2022.

Jika kita menggunakan Google Image dengan menaip namanya, apakah yang akan dipersembahkan kepada kita? Majoriti imej adalah di saat beliau menjadi penjaring terbanyak di pentas Piala AFF 2010 dengan lima gol.

Itu adalah saat terbaik kariernya di mana beliau dinobat penjaring terbanyak malah telah membawa Malaysia meraih kejuaraan sulung Piala AFF.

Selepas itu, beliau meluncurkan kariernya di luar negara dengan menyertai kelab di Indonesia, Pelita Jaya meninggalkan Selangor pada musim 2011.

Sepanjang kariernya yang menghampiri dua dekad, Safee telah meledak 180 gol di peringkat kelab dan 23 gol di peringkat antarabangsa bagi perlawanan status A FIFA dan 1 gol antarabangsa bukan status A.

Siapa sembilan lagi penyerang tempatan yang ikonik di mata pengikut Liga Malaysia selain Safee Sali?  Berikut adalah pilihan Semuanya BOLA.

Azman Adnan

Pemain yang merupakan anak kepada bekas anggota tentera ini pernah disamakan dengan bekas legenda negara, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Bakat Azman Adnan dibangunkan oleh ayahnya sendiri, Allahyarham Adnan Ahmad sejak usia muda. Kehebatan Azman bersama sebuah kelab bola sepak yang ditubuhkan oleh ayahanda beliau sendiri, Kotai FC membuka laluan untuknya beraksi bersama Kuala Lumpur sejak usia remaja.

Azman juga merupakan pemain tempatan pertama negara yang dilabel bernilai RM1 juta. Nilai tersebut diletakkan oleh Kuala Lumpur setelah Selangor berminat mendapatkan khidmat Azman pada musim 1993.

Setelah tampil sebanyak 225 kali dan menjaringkan 129 gol bersama Kuala Lumpur, Azman meneruskan kecemerlangannya di hadapan gol bersama Selangor dengan 147 gol melalui 279 penampilan di antara 1992-1998.

Selain daripada turut beraksi dengan Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, Azman turut pernah tampil sebanyak 79 kali untuk skuad negara dan menjaringkan 49 gol di pentas antarabangsa dalam pelbagai kejohanan.

Matlan Marjan

Skandal rasuah pada pertengahan tahun 90-an telah membunuh karier Matlan Marjan yang akhirnya digantung seumur hidup oleh FAM dan dilarang terlibat sama sekali dengan bola sepak secara profesional.

Di usia 27 tahun, di kemuncak karier, beliau yang diramal akan membawa semula kegemilangan Sabah akhirnya tersungkur atas sebab skandal itu.

Gandingan beliau bersama Scott Ollerenshaw mencetuskan kegerunan pada mana-mana pemain pertahanan yang berdepan The Rhinos ketika itu.

Pada 2017, beliau ‘dibebaskan’ oleh FAM dan kini kembali giat membentuk pemain-pemain muda Sabah dalam membina karier bola sepak mereka.

Matlan akan sentiasa dikenang sebagai penyerang ikonik tempatan dan antara yang melekat di ingatan penyokong adalah dua golnya ketika skuad negara tewas 2-4 kepada England dalam aksi persabahatan pada 1991.

Hashim Mustapha

Lagenda bola sepak Kelantan ini amat disegani di era kegemilangannya. Hashim Mustapha pernah dilabel sebagai Golden Boy bola sepak tempatan apabila mula dikenali sedari berada di tingkatan 4 di sekolah menengah apabila ditawarkan kontrak untuk bersama Kelantan pada ketika itu.

Boleh dikategorikan sebagai poacher di era kini, Hashim beberapa kali muncul sebagai penjaring terbanyak dan memenangi Kasut Emas.

Antaranya adalah pada musim 1990 apabila meledak 15 gol, 1993 (13 gol) dan 1994 (25 gol). Musim 1994 adalah musim terbaik kariernya.

Beliau membuat keputusan mengejut apabila berhijrah ke Kedah pada 1996. Beliau mengecapi kejayaan Piala FA bersama Sang Kenari.

Setelah bersara sebagai pemain, Hashim Mustapha turut giat sebagai jurulatih, dan pernah mengendalikan skuad Piala Presiden dan bertindak sebagai penolong jurulatih skuad Liga Malaysia negerinya, Kelantan.

Azizul Kamaluddin

Ini merupakan antara penyerang prolifik tempatan terbaik di era 90-an. Azizul Kamaluddin sinonim dengan gaya rambut panjangnya yang diikat.

Pemain yang digelar ‘Roberto Baggio’ Malaysia ini bermula sebagai pemain tengah sebelum ditukarkan posisinya dan popular sebagai penyerang.

Bekas penyerang import Pahang (kini Sri Pahang) di era tersebut, Gus Cerro pernah meletakkan Azizul sebagai antara pemain tempatan terbaik dimiliki pasukan dan mungkin Malaysia secara amnya waima ada ‘kekurangan’.

Saya rasa dia kurang bercakap dalam bahasa Inggeris. Dia adalah seorang individu paling tenang, santai dan bersahaja, yang kurang bercakap sepatah perkataan pun. Work rate Azizul adalah satu fenomena dan dia memiliki kemahiran yang cukup mengagumkan,” ungkapnya kepada Vocket FC.

Pada musim 2000, Azizul mengejutkan penyokong Pahang apabila menyatakan niat untuk menyertai Perak. Namun beliau terpaksa akur selepas tidak mendapat pelepasan pengurusan skuad Tok Gajah.

Keputusan untuk kekal bersama Pahang jelas tidak sia-sia. Pada tahun 2000 beliau dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana 1.

Khalid Jamlus

Khalid Jamlus adalah seorang penyerang target man yang jarang dilihat di negara kita. Karier Khalid mula menyinar ketika dipanggil menganggotai skuad kelayakan Sukan Olimpik yang dinamakan sebagai Olimpik 2000.

Kelibat Khalid pada satu masa dahulu pernah menjadikan beliau antara penyerang harapan negara dan hampir ditawarkan kontrak untuk menyertai Eintracht Frankfurt di Jerman. Namun, impian tersebut telah terkubur.

Walaupun sinonim dengan pasukan Perak, kejayaan terbesar peribadi bagi pemain kelahiran Kuala Lumpur ini ialah membantu Selangor menyapu bersih setiap kejuaraan di dalam negara, membentuk gandingan yang digeruni bersama Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Brian Fuentes.

Bekas pertahanan skuad negara, Aidil Zafuan Abd Razak pernah berkata yang sehingga kini, masih belum ada penyerang tempatan seperti Khalid.

Selain Perak, Khalid turut pernah menyumbang khidmat bakti bersama beberapa pasukan lain di kancah domestik seperti Selangor, Kelantan, ATM dan PDRM sebelum bersara sepenuhnya daripada arena bola sepak.

Rusdi Suparman

Satu masa dahulu, Selangor memiliki seorang penyerang yang sinonim dengan jolokan nama Superman’. Watak adiwira terkenal itu sinonim dengan Rusdi Suparman, bukan hanya kerana nama ayahnya (Suparman).

Ini disebabkan beliau gemar menyelak jersinya dan menutup kepalanya, lantas mempamerkan singlet hitam yang mempunyai logo ‘Superman’ setiap kali menjaringkan gol. Beliau juga penyerang kembar Azman Adnan.

Disebabkan tindakan itu jugalah Selangor telah didenda oleh FAM sebanyak RM2,000 untuk setiap kontrak – penajaan Dunhill, yang dilanggar Rusdi.

Ini kerana, mengikut terma perjanjian antara FAM dan Dunhill, setiap pemain dikehendaki mempamerkan logo Dunhill pada jersi sepanjang mereka berada di atas padang. Jadi, tindakan Rusdi dianggap melanggar perjanjian.

Pada musim 1999, beliau muncul sebagai pemenang Kasut Emas di Liga Perdana selepas berhasil untuk menjaringkan 15 gol bersama Selangor.

Hairuddin Omar

18 tahun bergelar sebagai pemain profesional, Hairuddin Omar merupakan salah seorang pemain yang mempunyai koleksi kejuaraan lengkap di saingan domestik di negara ini. Ia satu pencapaian yang cemerlang.

Empat kejuaraan Piala Malaysia, satu kejuaraan Piala FA, dan dua kejuaraan liga (salah satunya Liga Perdana), adalah sebahagian daripada koleksi yang menghiasi kabinet kejuaraan milik Hairuddin sepanjang kariernya.

Tampil di dalam 367 perlawanan di peringkat domestik, dan menjaringkan sejumlah 113 gol untuk pasukan yang diwakili beliau, Hairuddin pernah mewakili Terengganu, Pahang, T-Team, Negeri Sembilan, Kelantan dan ATM.

Hairuddin pernah membantu skuad kebangsaan untuk muncul sebagai pemenang pingat perak di temasya Sukan SEA 2001, selain berjaya menghasilkan 35 gol untuk Harimau Malaya melalui 113 penampilan.

Musim lalu, beliau menjadi antara tulang belakang kejayaan yang dilakar Terengganu FC – mara ke Piala AFC 2023, bersama-sama Nafuzi Zain.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Bermula di kejohanan Piala Perdana Nike Asia Pasifik 1995, Akmal Rizal mula menempa nama sebagai penyerang berkualiti dimiliki negara di usia remajanya apabila muncul sebagai pemain terbaik kejohanan yang dijuarai.

Pada tahun 1999, beliau menjadi pemain termuda yang terpilih untuk bersama skuad Olimpik 2000 dan turut menyerlah bersama pasukan.

Beliau kemudian terbang ke Perancis untuk berkarier bersama Strasbourg dan dipinjamkan ke FCSR Haguenau yang mana beliau tampil beraksi baik apabila menyumbang tiga gol daripada lima penampilan awalnya malah membantu kelab tersebut meraih promosi ke divisyen empat Perancis.

Beliau kembali ke Malaysia selepas mengalami kecederaan yang telah menamatkan kariernya di Eropah, namun tidak di saingan domestik. Beliau cemerlang tampil bermain bersama Kedah, Selangor, KM Naza, Kelantan dan Perak, malah meledak lebih 90 gol dalam tempoh 12 tahun.

Ketika ini, Akmal mengemudi skuad B-23 Penang FC yang akan bersaing di Piala MFL 2023 selepas menyertai pasukan tersebut pada tahun 2020.

Amri Yahyah

Siapa yang tidak kenal pemain ini? Musim 2023, beliau akan tampil untuk musim ke-3 bersama Sabah FC dan sudah pun berusia 42 tahun kini.

Tidak dapat disangkal, Amri adalah pemain terbaik yang pernah dimiliki Selangor selepas Mokhtar Dahari, penyerang lagenda Harimau Malaya. Beliau meledak lebih 100 gol bersama The Red Giants sepanjang 16 tahun.

Aksi cemerlangnya bersama skuad muda Selangor memikat pengendali Selangor ketika itu, Abdul Rahman Ibrahim untuk mencubanya di peringkat senior dan ia menjadi apabila menjaringkan gol pertamanya pada 2001.

Masih cergas beraksi selain sentiasa mencipta sensasi dan fenomena tersendiri di Liga Malaysia hingga ke saat ini, Amri akan sentiasa dikenang pernah memperdaya penjaga gol Manchester United, Edwin van der Sar kira-kira 11 tahun yang lalu menerusi jaringan jarak jauh yang memukau.

Gol yang dilabel sebagai ‘amazing goal’ oleh Bleacher Report itu dikatakan akan terus dikenang oleh pemain itu sepanjang hidupnya. Kelicikannya itu membantu Amri meledak dua gol dalam aksi yang dimenangi United.

Walaupun pernah dilabel sebagai pemain yang nakal di usia mudanya, Amri akan sentiasa terpahat sebagai penyerang ikonik dimiliki Malaysia.

Penutup

Pembaca ada senarai lain untuk kategori penyerang tempatan ikonik di Liga Malaysia? Atau ada di kalangan pemain di atas yang anda minati?

Kongsikan di ruangan komen, siapa pilihan anda untuk penyerang tempatan paling ikonik di Malaysia. Mungkin ada yang kami terlepas pandang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN