Indonesia bakal menghadapi tugas paling getir mereka pada hari ini untuk saingan 16 terbaik Piala Asia 2023, dengan pertemuan membabitkan pasukan itu menentang Australia.
Terdahulu, Indonesia berjaya mencipta keajaiban mereka tersendiri untuk melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik selepas muncul selaku antara pasukan terbaik menghuni kedudukan ketiga dalam carta kumpulan.
Pada aksi Kumpulan D lalu, Sang Garuda sebenarnya hanya berjaya mengumpul tiga mata sahaja ketika mereka menewaskan cabaran Vietnam menerusi keputusan 1-0.
Dua lagi perlawanan, skuad kendalian Shin Tae-yong hanya mampu merekodkan kekalahan kepada Iraq serta Jepun.
Kejayaan Indonesia mara ke pusingan 16 terbaik juga disebabkan faktor pertemuan antara Kyrgyzstan serta Oman di Kumpulan F yang sekadar terikat seri.
Untuk aksi seterusnya, Shin menyatakan kini supaya keajaiban dapat terus dijelmakan pada perlawanan petang ini untuk mereka berdepan Australia di Stadium Jassim Bin Hamad.
Malah, pengendali dari Korea Selatan itu juga menyedari kerja keras berterusan sangat diperlukan barisan pemain beliau untuk cuba mengekang gergasi Asia tersebut.
“Walaupun saya secara peribadi sangat berharap agar keajaiban berlaku buat saya dan Indonesia, tetapi jelas itu tidak mudah untuk kami.
“Jadi, walaupun pasukan lawan boleh dikatakan sangat kuat, kami akan hadir menentang mereka pula bersama mentaliti lebih hebat.
“Kami tak akan sesekali menyerah kalah dan akan terus memberi fokus sepanjang perlawanan tersebut berlangsung nanti.
“Kami akan terus kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat 90 minit aksi untuk memberikan aksi yang terbaik berdepan Australia,” jelas Shin menerusi laporan CNN Indonesia.
Pada masa sama, pertahanan kental Indonesia iaitu Pratama Arhan juga menyatakan mereka akan memberikan segala yang terbaik untuk para penyokong setia Indonesia.
“Persiapan dilakukan kami sebagai pemain, barisan kejurulatihan, serta staf lain kini boleh dikatakan berjalan dengan sangat lancar untuk menghadapi hari perlawanan.
“Kami telah bersedia untuk mengharungi perlawanan ini dengan para pemain masing-masing bekerja begitu keras pada sesi latihan sebelum itu. Secara peribadi juga, saya akan memberikan yang terbaik,” jelas Arhan.