FAM Tuntut Laporan Bedah Siasat Prestasi Malaysia Di Piala Asia 2023

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan bakal membuat bedah siasat untuk meneliti kembali prestasi keseluruhan skuad Harimau Malaya dalam aksi Piala Asia 2023.

Terdahulu, skuad kebangsaan gagal untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik, selepas mereka mencatat dua kekalahan berturut-turut dalam aksi peringkat Kumpulan E.

Dua kekalahan dicatat Malaysia pada aksi sulung sewaktu berdepan cabaran Jordan, apabila pasukan kendalian Kim Pan-gon tewas menerusi keputusan besar 0-4 bersama corak permainan serba tidak menjadi.

Pada aksi kedua, Malaysia tampil dengan kualiti permainan lebih menyakinkan sepanjang berdepan cabaran Bahrain, namun sedikit kesilapan pada penghujung perlawanan menyaksikan Harimau Malaya mencatat kekalahan 0-1 di tangan lawan.

Walaupun begitu, pasukan negara hadir dengan elemen kejutan setelah mereka berjaya merekodkan keputusan seri 3-3 ketika berdepan cabaran gergasi Asia iaitu Korea Selatan.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia sebenarnya sudah pun memintas rekod pada tahun 2007, selepas mereka tampil mengutip mata pertama pada saingan itu serta meledak tiga jaringan secara keseluruhan.

Setibanya di Malaysia, FAM telah menyatakan satu bentuk laporan perlu disediakan jurulatih skuad kebangsaan untuk dinilai oleh ahli jawatankuasa mereka nanti.

Jelas Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin, ianya merupakan satu proses biasa apabila jurulatih kebangsaan perlu menunjukkan laporan telah dibuat kepada mereka.

Kata Hamidin, langkah tersebut dibuat bagi mereka melihat serta menilai selain memberi beberapa input penambahbaikan atau mengetahui faktor sesuatu keputusan dilakar oleh Malaysia.

“Itu adalah proses untuk mereka (barisan jurulatih) menerangkan dan mungkin ada cadangan daripada Pan Gon untuk penambahbaikan lagi.

“Namun, kita memang sudah bagi yang terbaik kepada pasukan kebangsaan termasuk juga kepada pasukan bawah 23 tahun dan yang lain kerana kita nakkan kejayaan.

“Saya selalu nyatakan kepada jurulatih dan mana-mana pasukan, bahawa kita sekarang ini nak ke tahap Asia dan kalau boleh satu hari nanti nak naik atas lagi.

“Jadi kita perlu perbaiki jika ada apa-apa kekurangan sama ada di dalam padang atau luar padang,” kata Hamidin menerusi laporan Berita Harian.

Pada masa sama, Hamidin tidak sesekali melihat Harimau Malaya sebagai pasukan yang gagal walaupun mereka tidak dapat meneruskan perjuangan ke peringkat lebih jauh.

“Kita perlu ingat daripada 24 pasukan Piala Asia, enam atau tujuh adalah pasukan Piala Dunia dan ini adalah barisan terbaik Asia.

“Harapan sebahagian penyokong tinggi dan apabila kalah, tercetusnya mengapa A, mengapa B mengapa C, tetapi kita perlu ingat dalam dua tahun lalu kita melonjak begitu tinggi.

“Kita harap akan bangkit lebih kuat untuk kejohanan atau perlawanan akan datang. Jadi saya langsung tidak mengatakan ini satu kegagalan, banyak pengalaman yang pasukan dapat belajar dari sini dan saya kira pemain sedar, kita perlu perbaiki lagi mutu permainan kita,” katanya akhir sekali.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN