Esok, Piala Kelab Dunia akan bermula bagi edisi 2018. Secara tradisinya tuan rumah akan diberikan satu slot untuk beraksi dalam kejohanan ini – yang secara tradisi diwakili oleh juara liga domestik negara tuan rumah.
Bagi edisi ke-15 kejohanan ini, UAE akan menjadi tuan rumah buat kali keempat dalam sejarah pertandingan. Al Ain FC, CD Guadalaraja, Esperance S. De Tunis, Kashima Antlers, Real Madrid, River Plate, dan Washington FC akan mewakili enam benua dalam kejohanan yang akan berlangsung sehingga 22 Disember.
Berikut merupakan imbasan rekod wakil tuan rumah dalam kejohanan ini.
Johan dari tuan rumah
Tuan rumah edisi 2000, Brazil diwakili Corinthians selaku juara liga Brazil. Namun begitu, Brazil mempunyai dua wakil kerana Vasco da Gama menjuarai Copa Libertadores 1998.
Format pada kejohanan itu satu-satunya ada peringkat kumpulan yang setiap kumpulan disertai 4 pasukan. Juara dan naib juara peringkat kumpulan bertemu di final.
Seperti sudah ditakdirkan, kedua-dua wakil Brazil itu bertemu di final. Trofi sulung Piala Kelab Dunia menjadi milik Corinthians.
Ini menjadikan Corinthians satu-satunya kelab dari negara tuan rumah yang memenangi kejohanan ini.
Raja yang cuba merajai
Maghribi menjadi hos pada kejohanan 2013 dan diwakili oleh Raja Casablanca. Mereka memulakan kempen di pusingan play-off dengan menewaskan wakil OFC, Auckland City.
Kelebihan beraksi di negara sendiri dimanfaatkan oleh Raja Casablanca dengan menewaskan Monterrey di suku akhir dan Atletico Miniero di separuh akhir.
Peminat bola sepak dunia dikejutkan dengan cabaran diberikan oleh wakil tuan rumah. Akhirnya, Raja Casablanca tewas kepada Bayern Munich pada perlawanan akhir dan menduduki tangga kedua.
Pencapaian kelab Jepun
Kashiwa Reysol terpilih menjadi wakil Jepun dalam Piala Kelab Dunia edisi 2011. Semasa aksi play-off, mereka menumbangkan Auckland City.
Di saingan suku akhir menyaksikan Kashiwa mengalahkan Monterrey, johan CONCACAF Champions League dan bertemu Santos di perlawanan separuh akhir.
Namun perjalanan Kashiwa tersekat apabila tewas kepada Santos dengan jaringan 3-1. Walau bagaimanapun, Kashiwa menduduki tangga ketiga kejohanan ini selepas menang perlawanan penentuan. Mereka mengalahkan Al-Sadd – juara AFC Champions League ketika itu dalam perlawanan tersebut.
Bukan atas slot tuan rumah
Sebenarnya beberapa kali slot tuan rumah terpaksa dilepaskan. Sebagai contoh, pada edisi 2007 menyaksikan Jepun menjadi tuan rumah. Kebetulan, juara AFC Champions League, Urawa Red Diamonds diberikan slot untuk kejohanan ini.
Kelab Jepun tersebut bermula di suku akhir. Ini bermakna Urawa Red layak selaku juara AFC Champions League, dan bukannya sebagai wakil tuan rumah.
Sepahan dari Iran, naib juara AFC Champions League diberi peluang beraksi dalam kejohanan ini tetapi bermula di pusingan play-off.
Kisah ini berulang pada 2008 juga di Jepun. Gamba Osaka pada ketika itu menjadi juara AFC Champions League dan mereka memulakan aksi di peringkat suku akhir.
Naib juara AFC Champions League 2008, Adelaide United pula menerima tiket dalam saingan ini. Mereka memulakan kempen di play-off.
Penutup
Satu hari nanti mungkin giliran Malaysia pula menganjurkan kejohanan ini. Namun sebelum itu kita harus mengharapkan FIFA tidak mengubah format pertandingan sedia ada – dan sudah pasti wakil dari negara ini harus terlebih dahulu menampilkan prestasi meyakinkan di pertandingan peringkat serantau terlebih dahulu untuk ianya berlaku.
Format tujuh pasukan ini dilihat sesuai untuk kejohanan ringkas seperti Piala Dunia Kelab ini. Fasiliti dan kemudahan logistik juga tidak terlalu sukar untuk disediakan oleh pasukan tuan rumah.