Pengarah Sukan Dortmund ‘Lega’ Dembele Buat Hal Di Barcelona

Pada Ahad lalu, penyerang Barcelona, Ousmane Dembele lewat 2 jam ke sesi latihan. Akibat beliau lewat, Barcelona risau dengan kemungkinan ada sesuatu buruk menimpanya.

ESPN melaporkan Barcelona menghantar pegawai keselamatan kelab untuk ke rumahnya. Dembele sebelum itu cemerlang membantu Barcelona menang 4-0 ke atas Espanyol.

Ini bukan pertama kali Dembele lewat ke pusat latihan. Pada Oktober lalu, ESPN turut mendedahkan perangai buruk bintang Barcelona itu.

Salah satu sebab beliau tidak disenaraikan dalam pasukan menentang Real Betis adalah kerana Ernest Valverde menghukum beliau kerana kelewatannya ke pusat latihan.

Walaubagaimanapun, sebelum ini, Valverde cuba menyembunyikan hal itu daripada media. Beliau mungkin tidak mahu Dembele merasa malu dan ia bakal memberikan impak kepada pemain tersebut. Ada sesetengah perkara hanya akan ‘disimpan’ di kelab.

Ernesto Valverde

Bekas timbalan Pengarah Sukan Barcelona, Urbano Ortega memberitahu; Barcelona sudah mendapat tahu akan masalah disiplin Dembele ini sejak di Borussia Dortmund lagi.

Namun kelab itu memutuskan untuk menandatangani pemain itu dengan harapan akan dapat mengawal pemain itu kerana Dembele memperlihatkan kesungguhannya mahu ke Barcelona.

Jika anda masih ingat, Dembele pernah mogok dan mengugut pengurusan untuk menjualnya ke Barcelona.

Urbano memberitahu radio COPE: “Beliau dikelilingi oleh orang-orang yang tidak dapat membantunya. Kami menandatangani beliau dan ketika itu kami sudah tahu masalah disiplin di luar padang beliau.”

Tidak dinafikan Dembele adalah pemain yang sangat berbakat. Beliau berjaya mengatasi Phillipe Coutinho dalam perebutan tempat dalam pasukan menentang Espanyol baru-baru ini. Beliau cemerlang dengan menjaringkan beberapa gol dan assist untuk pasukannya.

Rakan sepasukan Dembele, Clement Lenglet pula membidas pihak yang cuba memperbesar-besarkan cerita kelewatan Dembele. Beliau mahu semua pihak lebih menumpukan prestasi Dembele di atas padang.

Lenglet berkata: “Paling penting bagi saya adalah apa yang Ousmane lakukan di atas padang dan beliau melakukan tugasnya dengan cukup baik. Kamu bercakap tentang perkara tiada kaitan dengan sukan [non-sporting], namun apabila beraksi, beliau sangat baik.”

“Saya faham, media suka mencari perkara seperti itu, namun bagi saya, lebih penting melihat aksi beliau dalam perlawanan, sama ada beliau melakukannya dengan baik.”

Namun apa yang dikatakan oleh Lenglet itu seakan-akan bercanggah dengan prinsip kelab. Dalam sidang media baru-baru ini Valverde memberitahu beliau akan cuba menyelesaikan beberapa perkara secara dalaman.

Media terus mengagak ianya adalah berkaitan dengan isu pengawal keselamatan yang terpaksa dihantar ke rumah Dembele pada Ahad.

Valverde berkata: “Ada sesuatu berlaku pada Ahad, namun kami akan cuba menyelesaikannya secara dalaman.”

Ketika wartawan cuba meminta pengesahan, adakah ianya berkaitan dengan Dembele, Valverde menjawab: “Saya tidak ada perkara lagi untuk dikatakan, benar.”

“Kami akan cuba membantu beliau kerana beliau ada bakat yang hebat. Beliau adalah pemain yang banyak membantu kami di dalam padang. Namun kami mengamalkan polisi peraturan disiplin yang terpakai kepada semua orang.”

Pada bulan lalu, pemain senior Barcelona, Gerard Pique dan Luis Suarez menyatakan sokongan kepada Dembele namun mereka tetap meminta pemain itu supaya lebih profesional.

Berita kelewatan sehingga dijejak pegawai keselamatan ini tiba ke telinga Pengarah Sukan Borussia Dortmund – Michael Zorc. Beliau menyatakan dirinya ‘lega’ kerana Dembele ‘buat hal’ di Barcelona. Ini membuktikan beliau sebelum ini tidak cakap kosong ketika mengkritik Dembele sebagai pemain yang ada masalah disiplin.

Beliau juga mahu penyokong Dortmund tahu bahawa kelab Borussia Dortmund bukannya punca kenapa Dembele tidak berdisiplin. Ini kerana ramai penyokong sebelum ini mengutuk kelab kerana Dembele dikatakan tidak gembira di sana – mesti ada tak kena dengan pengurusan Dortmund.

Menurut Zorc, walaupun Dembele bermain di salah sebuah kelab terbesar di dunia seperi Barcelona, sikapnya masih tidak berubah. Lantas Zorc menyatakan, kelab itu tidak akan mampu mengubah seseorang pemain sebaliknya pemain itu sendiri.

Dortmund melepaskan Dembele dengan nilai €145 juta ke Barcelona pada musim lalu selepas Dembele mogok dan mendesak mereka menerima bidaan itu. Rakan sepasukan Dembele ketika itu, Roman Weidenfeller memberitahu, Dembele sampai satu tahap tidak kisah untuk membawa membawa pulang kasut bolanya di pusat latihan.

Selepas berhijrah ke Sepanyol, Dembele bergelut dengan prestasi kerana kecederaan. Selepas itu beliau berjaya bangkit terutama sekali musim ini. Namun kini beliau mulai bergelut dengan masalah disiplin.

Zorc berkata: “Sekarang ini beliau sudah bermain di Barcelona, dekat salah satu kelab terbesar di dunia, namun masalah disiplin ini tetap masih bersamanya.”

“Saya lega untuk menyatakan bahawa perkara seperti ini tiada kaitan dengan kelab kami di sini ketika mengendalikan beliau dahulu.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN