Ilhan Mansiz: Hero Turki Di Piala Dunia Yang Menjadi Peluncur Ais Kerana ‘Dibunuh’ Kecederaan

Ilhan Mansiz Peluncur Ais Turki

Kira-kira 20 tahun lalu, nama Ilhan Mansiz secara tiba-tiba meniti di bibir setiap peminat bola sepak di seluruh dunia apabila aksi luar biasa yang ditampilkannya di kejohanan Piala Dunia 2002 telah membantu Turki menamatkan saingan di tempat ketiga.

Jaringan emasnya ketika Turki menewaskan Senegal pastinya akan kekal dikenang rakyat negara tersebut kerana ia membolehkan pasukan kendalian Senol Gunes itu mara ke peringkat separuh akhir kejohanan berprestij berkenaan buat kali pertama dalam sejarah.

https://twitter.com/retroballab/status/1483100940076990466?s=20

Ilhan Mansiz yang berusia 26 tahun pada waktu itu terus mencuri tumpuan sewaktu perlawanan separuh akhir menentang Brazil apabila skilnya melakukan ‘rainbow flick’ untuk mengatasi kawalan Roberto Carlos menjadi salah satu detik yang paling diingati.

Skuad pada tahun itu yang turut terdiri daripada Hakan Sukur, Rustu Recber, Hasan Sas, Umit Davala, Tugay Karimoglu dan Emre Belozoglu dianggap sebagai generasi emas buat negara rentas benua itu.

Namun siapa sangka, dari seorang pemain yang dianggap legenda bola sepak Turki, karier profesional Ilhan Mansiz di peringkat kelab tidaklah seperti yang diharapkan sehingga sempat mengubah kariernya menjadi peluncur ais profesional.

Kaki kaca

Meskipun lahir di Jerman, ibu bapanya merupakan etnik Crimean Tatar yang berhijrah dari Turki. Maka Ia membolehkan beliau mewakili negara asal keluarganya di peringkat antarbangsa walaupun lebih banyak pemain kacukan Jerman-Turki memilih sebaliknya.

Mempunyai skil yang luar biasa, gerakan kaki dan badan yang lincah serta larian yang pantas menjadikan Ilhan Mansiz antara pemain Turki paling berbakat di zamannya.

Berbekalkan wajah kacak dengan fesyen rambut ekor kuda, ia telah menambah lagi pakej lengkap buat beliau sehingga menarik minat beberapa kelab besar di Eropah seperti Bayern Munich, Manchester United, Real Madrid dan banyak lagi.

Akan tetapi Ilhan Mansiz tekad untuk kekal di Besiktas, iaitu kelab yang telah menaikkan nama dan kariernya. Malah beliau menganggap pilihannya itu sebagai membalas budi kelab tersebut yang banyak memberi peluang dan kepercayaan meskipun kerap dilanda kecederaan.

Pada 2004, beliau mengambil keputusan untuk melebarkan sayap kariernya ke benua Asia dengan menyertai kelab Jepun, Vissel Kobe, namun ia hanya bertahan selama semusim sahaja sebelum beliau kembali ke Eropah untuk menandatangani kontrak bersama Hertha Berlin.

Malangnya, disebabkan rekod ‘kaki kaca’ yang dimilikinya, beliau hanya sempat beraksi satu perlawanan sebelum kontraknya ditamatkan kelab Bundesliga berkenaan kerana tidak dapat bersabar dengan kecederaannya yang tidak berpenghujung.

Jalan buntu

Dengan reputasi yang dimiliki, Ilhan Mansiz masih menerima beberapa tawaran kelab ternama, namun beliau dengan pasrah menerima suratan takdir bahawa fizikalnya tidak lagi mampu untuk bermain di peringkat tertinggi.

Lalu beliau memilih untuk meniti tahun-tahun terakhir dalam kariernya dengan menyertai MKE Ankaragucu iaitu sebuah kelab ‘kecil’ yang berpangkalan di Ankara, ibu kota Turki.

Tetapi pada 2007, perjalanannya dalam bola sepak akhirnya menemui titik noktah apabila beliau terlibat dengan kemalangan apabila dilanggar oleh sebuah kereta ketika melintas jalan di Munich dan mengalami kecederaan lutut yang serius.

Selepas menjalani tujuh siri pembedahan dan melalui satu demi satu proses pemulihan, Ilhan Mansiz masih mencuba untuk kembali aktif dalam bola sepak dengan menjalani latihan bersama kelab divisyen dua Jerman, TSV 1860 Munich.

Tetapi berdasarkan imbasan dan nasihat oleh pakar perubatan, pintu dunia bola sepak profesional telah tertutup rapat buatnya.

Yakin, percaya dan bekerja keras

Keadaan tersebut menjurusnya untuk mula berjinak-jinak dengan sukan luncur air berbunga, iaitu sukan yang memerlukan disiplin tarian mengikut irama muzik.

Ketika berusia 33 tahun, beliau telah mendapat tawaran untuk tampil dalam rancangan TV Buzda Dans, iaitu tarian luncur ais di Turki dan berpasangan dengan teman wanitanya Olga Bestandigova, seorang peluncur ais profesional yang pernah bertanding di Sukan Olimpik musim sejuk pada 2002.

Apa yang mengejutkan, Ilhan Mansiz berhasil menyesuaikan diri dengan pantas untuk menjadi seorang peluncur ais profesional sehingga memenangi pertandingan tersebut.

Tidak mahu menoleh ke belakang, pasangan tersebut mengambil keputusan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan menjalani latihan secara serius. Ilhan Mansiz mula memasang impian yang lebih besar, Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014.

“Sebenarnya Oli (Olga Bestandigova) yang melihat potensi saya dalam rancangan itu,” ujarnya kepada The Guardian.

“Selepas bola sepak, saya memang mahu memulakan karier sukan kedua dalam hidup saya, tetapi saya tak pernah bermimpi untuk beraksi dalam sukan luncur ais berpasangan.

“Pada awalnya kami tak pernah berharap untuk memenangi pingat, tetapi jika dapat menjadi sebahagian daripada skuad Olimpik [Musim Sejuk], ia pastinya memberi makna yang cukup besar.

“Ia juga dapat memberi inspirasi kepada orang lain bahawa apa cara sekalipun, pada umur berapa pun, kamu masih boleh mencapai impian dengan sikap yakin, percaya dan bekerja keras”

Agak mengejutkan juga kerana dengan kecederaan lutut yang serius pernah menghantuinya, Ilhan Mansiz berupaya untuk melakukan lompatan, putaran dan disiplin-disiplin lain lagi.

Namun beliau mendedahkan sesi yoga, ballet dan latihan di gimnasium yang dilakukan secara berjadual banyak membantu perkembangannya dalam sukan tersebut walaupun hanya mula menjejak ais pada usia 32 tahun.

Bagaimanapun cita-cita Ilhan Mansiz untuk menjadi individu pertama yang tampil dalam kejohanan Piala Dunia dan Olimpik Musim Sejak tidak kesampaian apabila berliau terkandas di pusingan kelayakan.

Penutup

Pada Julai 2019, Besiktas telah mengumumkan bahawa Ilhan Mansiz telah dilantik sebagai penolong jurulatih bersama seorang lagi bekas pemain, Guti. Namun enam bulan kemudian, beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana faktor kesihatan.

Ini adalah kisah seorang pemain berbakat besar yang ‘dibunuh’ oleh kecederaan. Tetapi nama Ilhan Mansiz akan kekal diingati oleh peminat bola sepak di seluruh dunia di atas aksi luar biasanya 20 tahun lalu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN