‘Ikut Resepi JDT?’ – Sri Pahang Miliki 5 Import, 2 Naturalisasi, 2 Kacukan Musim Ini

Sri Pahang JDT

Saingan Liga Super 2019 menyaksikan Pahang selaku salah satu pasukan yang digeruni dalam pentas bola sepak tempatan menamatkan saingan di tangga kedua di belakang juara Johor Darul Ta’zim (JDT).

Maka dengan itu, banyak pihak yang menjangkakan skuad Tok Gajah itu akan tampil dengan imej yang lebih mengancam bagi mencabar kejuaraan pada musim berikutnya.

Ekoran proses penswastaan, pasukan pantai timur ini dijenamakan semula sebagai ‘Sri Pahang’. Nama baharu yang diharapkan dapat meningkat aura mereka.

Namun sebaliknya yang berlaku. Pertukaran pihak pengurusan tertinggi dan penghijrahan beberapa pemain penting seperti Matthew Davies dan kemudian Mohamadou Sumareh ternyata memberikan kesan yang cukup besar.

Musim lalu mereka nyaris tersingkir ke Liga Premier setelah menamatkan saingan liga di tangga ke-10.

Setelah hujan, terbitlah pelangi. Itulah ‘cuaca’ yang diharapkan penyokong Sri Pahang untuk kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2022 ini setelah dua musim melihat pasukan kesayangan mereka bergelut dengan prestasi buruk.

Apatah lagi apabila melihat beberapa nama pemain berprofil tinggi sudah pun dibawa masuk ke dalam pasukan. Tiga pemain yang ditandatangani bukanlah calang-calang kerana pernah beraksi di peringkat tertinggi di Eropah.

5 Import

Billy Ketkeophomphone yang diumumkan secara rasmi sebagai pemain import baharu merupakan penyerang Laos dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini .

Pemain berusia 31 tahun itu yang dilahirkan di Perancis layak untuk mewakili negara tersebut kerana ibu bapanya merupakan pelarian Laos yang berhijrah ke Perancis pada tahun 1980-an untuk mendapatkan perlindungan suaka.

Billy Ketkeophomphone Sudah Tiba, Sri Pahang Bakal Dilengkapkan Dengan ‘DNA Perancis’

Billy menjadi pemain pertama dari Asia Tenggara yang beraksi di divisyen teratas Perancis dengan beraksi untuk RC Strasbourg, FC Sion, Tours FC, Angers SCO, AJ Auxerre dan USL Dunkurque. Malah beliau merupakan pemain pertama dari rantau ini yang berjaya menjaringkan gol di Ligue 1.

Sri Pahang juga telah mengesahkan ketibaan Mamadou Samassa yang akan beraksi di posisi penjaga gol pasukan pada musim ini yang empunyai ketinggian 1.97 meter.

Walaupun lahir di Perancis dan telah mewakili negara kelahirannya di pelbagai peringkat umur, penjaga gol berusia 31 tahun ini memilih untuk beraksi bersama Mali di peringkat senior, iaitu negara asal keluarganya.

Samassa Bakal Jadi ‘Tangan Ghaib’ Sebenar Buat Pahang

Samassa pernah beraksi di Ligue 1 bersama kelab Guingamp dan Troyes sebelum menyertai Sivasspor yang beraksi di Liga Turki selain membuat kemunculan selaku pemain di Liga Greece bagi mewakili pasukan Levadiakos.

Seorang lagi pemain adalah Johan Martial. Beliau merupakan abang kepada bintang Manchester United, Anthony Martial yang baru sahaja dipinjamkan ke Sevilla. Pemain berusia 30 tahun itu merupakan pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah dan sebelum ini beraksi untuk FC Sochaux di Ligue 2.

Pencapaian terbaik dalam kariernya adalah ketika menjuarai saingan Euro B-19 bersama Perancis pada edisi 2010 selepas menewaskan Sepanyol dengan keputusan 2-1. Antara pemain ternama yang beraksi bersamanya dalam skuad itu adalah pemain Atletico Madrid, Antoine Griezmann dan penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette.

Beliau juga pernah beraksi di Ligue 1 bersama Bastia, Brest dan Troyes dan tentunya pengalaman luasnya diharapkan dapat membantu membentuk skuad yang ampuh buat Sri Pahang.

Sri Pahang juga telah mengikat penyerang import dari Jordan, Mahmoud Za’tara. Berdasarkan rekod, pemain berusia 31 tahun ini telah membantu pasukan lama beliau iaitu Al-Wehdat untuk muncul selaku naib juara Liga Jordan selain menjulang kejuaraan Piala Super Jordan bagi musim 2021.

Pemain tersebut juga sangat terkenal aksinya sebelum ini kerana dilihat sangat licik untuk mengelirukan lawan serta sentuhan klinikalnya di depan gawang yang membuatkan Pahang sangat berminat untuk menandatangani kontrak beliau.

Sebelum ini, Za’tara pernah menyarung jersi beberapa kelab di negara Timur Tengah seperti  Oman, Qatar, Kuwait, dan Bahrain selain berpengalaman beraksi di pentas saingan Piala AFC dan kelayakan Liga Juara Asia dengan kelab yang berbeza diwakilinya.

Sri Pahang sudah sah akan terus mengekalkan khidmat pemain import lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo yang menghadirkan impak segera walaupun hanya tiba pada pertengahan musim lalu.

Walaupun dicanang sebagai bekas pemain Benfica dan Sheffield Wednesday pada hari beliau menandatangani kontrak bersama skuad Tok Gajah, ramai yang skeptikal akan kemampuan beliau.

Bertubuh kecil, saiz badan Hidalgo tidak jauh bezanya dengan pemain-pemain tempatan yang lain. Sedangkan skuad Tok Gajah sebelum ini lebih dikenali dengan pemain import berbadan sasa seperti Dickson Nwakaeme atau pun Lazarus Kaimbi.

Merupakan seorang pemain yang memiliki kepantasan dan kemampuan teknikal yang baik, Hidalgo membantu mana-mana pasukan dengan kreativiti. Corak permainan beliau lebih direct dan gerakannya agresif ketika bersama bola.

2 Naturalisasi

Berdasarkan senarai lima pemain import di atas, maka status dua lagi pemain import iaitu Lee Tuck dan Sergio Aguero pastilah menjadi tanda tanya kerana mereka dilihat masih menjalani latihan pasukan dalam gambar-gambar terbaharu yang dimuat naik dalam akaun media sosial rasmi Sri Pahang.

Tetapi berdasarkan sumber dalaman, difahamkan kedua-dua pemain ini bakal dinaturalisasikan kerana sudah pun beraksi di Malaysia sejak tahun 2017 dan melepasi syarat beraksi selama lima tahun berturut-turut seperti mana yang telah ditetapkan.

Tahun lalu, bekas ketua jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh juga tidak menolak bahawa naturalisasi pemain import yang mempunyai kualiti serta kelebihan daripada aspek fizikal selain daripada kemahiran di atas padang dapat membantu perkembangan perkembangan bola sepak di negara ini.

Maka dengan menaturalisasikan segelintir mereka, ia akan memberi impak positif bukan sahaja kepada kelab bertanding, tetapi mungkin juga dapat memberi manfaat kepada skuad kebangsaan sekiranya khidmat mereka diperlukan.

2 Kacukan

Dua pemain kacukan yang sudah pun berada bersama pasukan Sri Pahang adalah Nick Swirad dan David Rowley. Kedua-dua pemain ini pastinya bukan asing buat peminat bola sepak tempatan.

Swirad pernah beraksi untuk JDT II, Melaka United, PKNS dan Selangor sebelum berhijrah ke Thailand bagi menyertai Nongbua Pitchay dan membantu kelab tersebut muncul juara saingan Thai League 2.

Meskipun telah bersetuju untuk terus bersama kelab berkenaan beraksi di di Thai League 1, beliau terpaksa membatalkan kontraknya disebabkan tidak dibenarkan untuk beraksi dalam liga utama itu kerana tidak cukup jumlah penampilan bersama skuad kebangsaan.

David Rowley pula merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia yang diperkenalkan ke Liga Malaysia pada tahun 2018 oleh PDRM FC, dan kemudiannya telah beraksi bersama Negeri Sembilan, Kelantan dan Kedah. 

Pemain berusia 31 tahun ini merupakan tonggak skuad Penang FC yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim lalu. 

Turut berpengalaman beraksi di Australia, Itali dan Jerman, kehadiran David Rowley pastinya amat ditagih bagi menambah keampuhan di barisan tengah pasukan. 

Penutup

Berdasarkan senarai ini, pastinya skuad kendalian Christophe Gamel ini benar-benar serius untuk menghadapi Liga-M musim ini. Ianya tidak jauh berbeza dengan pendekatan yang digunakan oleh JDT yang turut ‘memborong’ pemain kacukan dan naturalisasi.

Namun seperti yang kita tahu, Sri Pahang masih terpalit dengan isu fasiliti pasukan yang kurang memuaskan seperti mana yang dibangkitkan oleh bekas ketua jurulatihnya, Thomas Dooley pada musim lalu.

‘Macam Divisyen 8 Jerman’, Thomas Dooley Kritik Fasiliti Sri Pahang

Kejayaan tidak datang bergolek. Diharapkan pengurusan kelab benar-benar mengetahui apakah yang sepatutnya menjadi keutamaan untuk mendapatkan kejuaraan yang diimpikan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN