Sedikit Gusar Dengan Kritikan, Azfar Fikri Mahu Balas Dengan Catat Kemenangan Skuad B-23

Susulan kegagalan yang menimpa skuad kebangsaan negara di saingan Piala AFF 2020 pada tahun lalu sedikit sebanyak meninggalkan kesan negatif buat barisan pemain muda negara yang turut bakal beraksi pada tahun ini.

Apa yang lebih membimbangkan, ada beberapa siri kejohanan yang akan dilalui skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan musim ini dengan Kejuaraan B-23 AFF dan Piala Asia B-23 antara yang akan ditempuhi, lalu meletakkan skuad kendalian Brad Maloney sebagai sasaran seterusnya jika gagal memberikan keputusan positif yang diharapkan oleh para penyokong.

Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar selaku penyerang muda Terengganu II yang juga merupakan penggempur utama skuad B-23 negara mengakui sedikit terkesan dengan segala reaksi negatif dan kecaman yang agak melampau dari segelintir pihak terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial memandangkan beliau sendiri bakal mewakili negara tidak lama lagi.

Namun, pemain tersebut mengambil perkara itu secara positif dan bersikap matang untuk menghormati hak sebagai penyokong yang sentiasa mahu perkara terbaik memberi pandangan sambil beliau menegaskan skuad kebangsaan sendiri perlu memberi segalanya yang positif jika tidak ingin dikecam dan perlu menghasilkan keputusan memberansangkan.

“Berdasarkan apa yang saya nampak, saya ambil yang positif saja. Biarlah mereka (penyokong) nak kecam apa pun, tugas kita senang, hanya satu iaitu balas dengan kemenangan. Kalau kita bagi kemenangan dan muncul juara, tiada lagi kecaman,” katanya kepada BERNAMA.

Azfar yang ditemui sewaktu hari pertama kem latihan pusat skuad B-23 bertempat di Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam, turut menyuarakan harapan agar para penyokong tidak terlalu mengikut emosi dalam memberi sebarang komen.

Menurut beliau, mana-mana pasukan yang beraksi amat memerlukan kata positif dan motivasi sebelum turun bermain.

“Tak semua orang faham bola sepak, di dalam dan luar padang lain. Mereka boleh cakap macam-macam tapi di padang, pemain sahaja tahu macam mana tekanannya. Saya harap semua terus menyokong pasukan negara. Kami pemain mengharapkan penyokong sentiasa bagi semangat,” katanya.

Muhammad Alif Abdul Mutalib yang beraksi selaku penyerang Johor Darul Takzim II turut senada dengan Azfar apabila pemain tersebut menyifatkan segala bentuk kritikan keterlaluan daripada para penyokong tidak memberi faedah kepada pemain dan pasukan.

“Saya melihat dari sudut positif. Bagi kami hanya buat yang terbaik di padang, selebihnya apa penyokong nak cakap terpulang kepada mereka,” katanya yang juga mengharapkan sokongan positif daripada penyokong dan mengakui kepentingan mereka dalam membantu pasukan meraih kejayaan.

Kedua pemain muda negara tersebut kini berada dalam kem latihan pusat skuad B-23 negara bagi mempersiapkan diri menghadapi Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja bermula 14 hingga 26 Februari ini.

Sumber:
BERNAMA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN