Bekas pemain Chelsea sebelum era Liga Perdana Inggeris, Alan Hudson menegaskan bahawa pengurus The Blues, Frank Lampard telah membuat keputusan yang salah apabila membenarkan Tariq Lamptey berhijrah ke Brighton.
Bek kanan yang merupakan lepasan Akademi Chelsea itu bertindak meninggalkan kelab London tersebut pada hari terakhir jendela perpindahan Januari musim lalu.
Satu-satunya aksi Lamptey ketika bersama Chelsea dalam saingan EPL adalah sewaktu beliau dimasukkan pada minit ke-59 bagi menggantikan Fikayo Tomori ketika bertemu Arsenal di Emirates Stadium, musim lalu.
Bersama Brighton, beliau diberikan peluang untuk beraksi terutamanya sebaik sahaja aksi liga kembali bersambung berikutan penularan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
Pemain berusia 20 tahun semakin menunjukkan peningkatan prestasi dan aksi bertemu Chelsea pada perlawanan sulung EPL musim ini menampakkan bahawa beliau sudah bersedia untuk memperagakan kualiti hebatnya.
Sehubungan dengan itu, Hudson melihat kegagalan untuk menghalang perpindahan Lamptey ke Brighton pada 31 Januari 2020 itu sebagai satu kesilapan buat Lampard.
”Saya lihat kepada pemain muda Lamptey yang mana mereka jual ke Brighton, dia telah membuatkan saya kagum dengannya.”
”Jika saya, pasti saya akan mengekalkannya sebagai salah satu prospek masa depan,” ujar Hudson menurut laporan Goal.
”Persembahan yang dipamerkan oleh Lamptey buat Brighton sejak berakhirnya perintah berkurung memang luar biasa. Dia pantas untuk mengubah daripada bertahan kepada menyerang, dan itu merupakan kelemahan Chelsea. Mereka tidak begitu pantas.”
”Saya rasa kali ini Frank Lampard telah membuat keputusan yang salah,” tambah Hudson lagi.
Selepas mengharungi empat perlawanan liga, Lampard dilihat cenderung untuk menggunakan Reece James di posisi pertahanan kanan dan Cesar Azpilicueta sebagai pilihan keduanya.
Kredit featured image: Glyn Kirk/Pool via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Chelsea: