Hebat Luar Dan Dalam Padang, Robert Lewandowski ‘Bolot’ Ijazah Sarjana Pendidikan Jasmani

Lewandowski

Sebut sahaja nama Robert Lewandowski, sudah pasti setiap daripada kita akan terbayangkan penyudah berbisa dimiliki penyerang Bayern Munich yang berjaya meledakkan 55 jaringan pada musim lalu.

Di samping kualiti hebat tersebut, pemain kelahiran Warsaw, Poland itu turut menitikberatkan soal pendidikan selepas beliau baharu sahaja lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan sekali gus berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana [Master] dalam Pendidikan Jasmani di Warsaw’s School of Education in Sport.

Menarik untuk diperkatakan, pencapaian hebatnya itu menjelma selepas sehari beliau meledakkan empat jaringan ketika membantu Bayern Munich menewaskan Hertha Berlin 4-3.

Perkembangan terbaharu yang nyata mengagumkan banyak pihak itu telah disahkan oleh laman Twitter rasmi DAZN Canda dan mereka turut mengucapkan tahniah kepada penyerang berusia 32 tahun tersebut.

Sama seperti apa yang dilakukannya semalam, kira-kira tiga tahun yang lalu di universiti yang sama, Lewandowski telah menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Jasmani (Kejurulatihan dan Pengurusan) tidak sampai 24 jam selepas beliau membantu Poland melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.

Lewandowski pada ketika itu berjaya menjaringkan dua gol ketika Poland berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 bertemu Montenegro di mana beliau turut mencatatkan rekod baharu pusingan kelayakan dengan 16 jaringan dihasilkannya.

Tesis yang dilakukan sewaktu melengkapkan Ijazah Sarjana Muda itu adalah berkisar tentang kariernya sendiri bertajuk ‘RL9: Path To Glory’. Dikhabarkan pensyarah, Profesor Marek Rybinski memuji tesis tersebut dengan mengatakan ia sangat ‘cemerlang’.

Sebelum ini, kecemerlangan Lewandowski menjaringkan 55 gol dalam 47 penampilan pada musim lalu telah menobatkannya sebagai pemain terbaik Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) ketika undian Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2020/21 di Geneva, tempoh hari.

Kredit foto: Facebook Wyższa Szkoła Edukacja w Sporcie

Baca artikel lain dari kami mengenai Robert Lewandowski:

One Comment

Leave a Reply