Bruno Fernandes sekali lagi membuktikan mengapa Manchester United amat memerlukan pemain dari Portugal itu pada musim ini apabila jaringan pemain tengah itu pada babak pertama perlawanan memadam kelebihan awal Everton.
Everton menjaringkan gol kemenangan minit akhir yang dibatalkan, menyebabkan pengurus dari Itali, Carlo Ancelotti dilayangkan kad merah kerana melakukan bantahan.
Perlawanan dianggap menghiburkan, selain daripada persaingan kompetitif daripada kedua-dua pasukan yang turut dicampur dengan kesilapan oleh kedua-dua penjaga gol.
Pasukan tuan rumah memperolehi gol pendahulan yang diimpikan apabila kesilapan David de Gea yang melakukan clearance liar terus menuju Dominic Calvert-Lewin, menyebabkan bola melantun terus ke dalam gawang gol United.
Gol tersebut merupakan jaringan ke-15 penyerang berusia 22 tahun itu dalam semua pertandingan untuk Everton pada musim ini.
United pantas memberikan tindak balas terhadap gol tersebut, namun percubaan Nemanja Matic sekadar menggegarkan palang gol lawan.
Namun minit ke-31 perlawanan menyaksikan percubaan melantun daripada jarak 20 meter oleh Bruno Fernandes gagal diselamatkan oleh Jordan Pickford – situasi yang sepatutnya boleh ditangani dengan mudah oleh penjaga gol England itu.
Everton kemudiannya meningkatkan tempo perlawanan dan menyaksikan tujuh pemain dari kedua-dua pasukan dilayangkan kad kuning.
Everton turut menyaksikan percubaan Gylfi Sigurdsson dari sepakan percuma sekadar menggegarkan tiang gol pada babak kedua perlawanan.
Pickford dan De Gea kemudiannya menebus kesiapan masing-masing dengan beberapa aksi menyelamat yang baik untuk mengelakkan pasukan masing-masing daripada dibolosi.
Jaringan minit akhir Calvert-Lewin dibatalkan oleh VAR kerana Sigurdsson berada di posisi offside, di hadapan De Gea. Senario itu menjurus kepada layangan kad merah kepada Ancelotti.
Keputusan serin ini bermakna United tidak tewas dalam lapan perlawanan, namun kekal berada di kedudukan ke-5 liga.