FAM Sifatkan PM Ke-8 Berkaliber Dan Memahami Senario Sukan Tempatan

Pada hari pertama Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di akaun media sosialnya telah merakankan ucapan tahniah di atas perlantikan berkenaan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyampaikan ucapan tersebut menerusi kenyataan media yang disiarkan oleh akaun media sosial FAM pada hari ini.

“Bagi pihak warga kerja FAM, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin.

“Dengan pengalaman Tan Sri sebagai Menteri Belia dan Sukan yang memperkenalkan Akta Pembangunan Sukan 1997, mempelopori proses menaturalisasikan atlet luar, menganjurkan Sukan Komanwel 1998 dan perlumbaan Grand Prix Formula 1 yang pertama di Sepang pada 1999.

“Beliau bukan sahaja berkaliber malah tentunya memahami senario sukan tempatan, tuntutan sukan prestasi tinggi dan amalan-amalan tadbir urus terbaik,” kata Hamidin.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengharapkan FAM akan mendapat kerjasama berterusan daripada Kerajaan Persekutuan bagi merangka dasar pembangunan bersama dalam memperkasakan bola sepak negara.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri diadakan di Istana Negara di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada pagi ini.

Sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggerakkan operasi pembersihan rasuah bola sepak yang menyasikan hampir 100 orang pemain bola sepak ditahan oeh Badan Pencegah Rasuah (BPR) serta dikenakan tindakan.

Kredit Foto: FAM

Leave a Reply