Kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane mengakui kekecewaan tersingkir pada peringkat 16 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) memberikan peluang luas buat kelab tersebut untuk memberikan fokus sepenuhnya menghadapi baki kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Tottenham yang merupakan finalis saingan UCL musim lalu terpaksa menelan kepahitan tersingkir lebih awal apabila tewas 0-4 secara aggregat ketika bertemu wakil Jerman, RB Leipzig.
Selain UCL, Tottenham juga sudah pun tersingkir daripada persaingan merebut Piala FA selepas tunduk di tangan Norwich City menerusi penentuan sepakan penalti 3-4 di pusingan kelima.
Melihatkan kepada perkembangan tersebut, Kane merasakan ini adalah peluang terbaik buat skuad yang mendapat bimbingan Jose Mourinho itu untuk tampil dengan lebih baik pada baki sembilan perlawanan EPL.
”Dari sudut pandang kami [Tottenham Hostpur] yang tidak lagi ada dalam mana-mana pertandingan lain, jadi kami boleh memberikan tumpuan penuh pada baki sembilan perlawanan liga untuk mendapat seberapa banyak mata dan cuma untuk merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.”
”Oleh itu, semua tumpuan kami akan terarah pada satu pertandingan sahaja,” ujar Harry Kane menurut laporan dikeluarkan Goal.
Dalam pada itu, Kane yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan mendedahkan beliau sudah berada dalam keadaan yang baik.
”Saya merasakan seperti menghadapi pra-musim, pada ketika ini semuanya baik sahaja.”
”Saya melakukan latihan secara sendiri untuk beberapa ketika dan sampai ke tahap di mana saya kembali bersama pasukan dan kemudiannya terpaksa tinggal di rumah [kerana COVID-19].
”Ini merupakan kesempatan buat saya untuk kembali mendapatkan kecergasan,” tambah pemain berusia 26 tahun itu lagi.
Tottenham yang mempamerkan aksi yoyo dalam saingan musim ini sedang menghuni tangga kelapan selepas mengumpul 41 mata hasil 11 kemenangan, lapan keputusan seri dan 10 kekalahan yang dialaminya.