Tottenham Sanggup Jual Kane, Tapi Bukan Kepada Manchester United

Tottenham Harry Kane

Tottenham Hotspur dilaporkan rela untuk melepaskan Harry Kane untuk keluar dari kelab itu pada musim perpindahan akan datang, tetapi tidak akan sesekali menjualnya kepada pasukan lawan di peringkat domestik terutamanya Manchester United.

Laporan terbaru dari Sky Sports mendedahkan pengerusi Spurs, Daniel Levy sanggup untuk menjual Kane tetapi dengan nilai perpindahan sebanyak £200 juta (RM1.08 bulion) juta terutamanya apabila kelab tersebut kini sedang dilanda masalah kewangan disebabkan pandemik Covid-19.

Stadium baharu Tottenham dianggarkan telah menelan kos sehingga £1 bilion (RM5.41 bilion) dan krisis pandemik tersebut telah memberi kesan yang besar kepada kewangan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Spurs telah menjadi di antara pasukan yang terawal memberikan cuti tanpa gaji kepada staf mereka.

Kane yang tidak beraksi sejak awal Januari lalu kerana kecederaan hamstring telah bercakap secara terbuka mengenai kekecewaannya kerana gagal memenangi sebarang kejuaraan bersama Tottenham dan beliau bersedia untuk meninggalkan kelab itu.

“Buat masa sekarang saya tak boleh kata ya, saya tak boleh kata tidak. Saya sayangkan Spurs dan sentiasa sayangkan Spurs.

“Tetapi dalam satu perkara, saya sentiasa berkata sekiranya saya rasa pasukan ini tidak ada peningkatan atau tidak menuju ke landasan yang betul, tidak ada gunanya saya terus kekal di sini,” kata Kane ketika ditemubual Sky Sports.

“Saya adalah pemain yang bercita-cita tinggi dan saya mahu ada peningkatan, saya mahu menjadi pemain yang lebih baik dan saya juga mahu menjadi salah seorang pemain terbaik dunia.

“Namun ia tetap bergantung kepada apa yang berlaku kepada kelab ini dan bagaimana kami  boleh berkembang sebagai sebuah pasukan. Jadi tidak semestinya saya akan kekal di sana [Tottenham] buat selamanya.”

Spurs tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Carabao ketika di bawah bimbingan Mairicio Pochettino dan Kane mengatakan kegagalan untuk mendapatkan kejuaraan itu amat sukar untuk diterima.

Bagaimanapun beliau kini optimis yang ia mampu berubah dengan rekod cemerlang yang dimiliki pengurus baharu, Jose Mourinho.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Harry Kane dan Tottenham Hotspur:

Leave a Reply