Hanya Sekali Gareth Bale-Harry Kane Pernah Main Bersama Pada 2011, Bagaimana Kini?

Harry Kane Gareth Bale Tottenham 2020

Pemain tersisih Real Madrid, Gareth Bale hampir pasti untuk kembali ke kelab asalnya, Tottenham Hotspur menurut laporan penulis sukan, Duncan Castles.

Kini yang menjadi persoalan, bagaimana agaknya gandingan Bale bersama Harry Kane di Tottenham? Adakah mereka akan menjadi sangat berbahaya di jentera serangan? Mereka mungkin boleh mengelak situasi seperti tewas 0-1 kepada Everton?

Mourinho akan dapat apa yang dimahukannya

Pengendali Tottenham, Jose Mourinho sebelum ini ada menjelaskan yang mereka amat memerlukan seorang penyerang untuk bergandingan bersama Harry Kane, bukan untuk menjadi pemain sampingan tetapi untuk bergandingan.

Katanya, “Saya mahu, saya perlukan seorang penyerang. Tetapi saya mahu jelaskan yang kelab tahu saya perlukan penyerang dan mereka juga mahu seorang penyerang. Adakah kita akan dapatkannya? Saya rasa dan percaya, kita akan dapat.”

Jadi, apabila Daniel Levy sedang dalam proses perbincangan mengenai bek kiri, Sergio Reguilon bersama Real Madrid, beliau dilihat turut bertanyakan mengenai situasi penyerang buangan, Bale yang merupakan bekas pemain mereka sebelum ini.

Bale berhijrah ke Real Madrid pada musim 2013 dan kini sedang melalui saat sukar apabila hubungannya bersama pengendali ketika ini, Zinedine Zidane kian retak.

Pernah sekali berkongsi padang

Menurut laporan di Dream Team FC, kedua-dua pemain, Hary Kane dan Gareth Bale pernah bergandingan hanya sekali sepanjang bersama Tottenham. Apa yang berlaku?

Adakah mereka menang besar seperti yang kita jangkakan ketika ini? Tidak sama sekali. Mereka tumbang 1-2 dalam aksi kumpulan di saingan Europa League 2011 kepada kelab PAOK Salonika – yang bermain dengan 10 orang pemain sahaja.

Perlawanan itu hanya menyaksikan gandingan Bale yang bermain sebagai pemain gantian di sayap kiri bersama Harry Kane dan Jermain Defoe selama sembilan minit kerana pengurus ketika itu, Harry Redknapp kemudian mengeluarkan Harry Kane.

Itulah kali pertama dan terakhir kedua-duanya berkongsi satu padang. Anda masih ingat? Anda berbohong kalau menyatakan anda ingat akan kejadian tersebut.

Mourinho kagum dengan Bale

Apa kelebihan Bale yang menjadikannya seorang pemain yang sangat berpengaruh sebelum berhijrah ke Real Madrid dan di awal musimnya bersama Los Blancos?

Jika mengikut kata-kata bekas pemain, pengulas dan sebilangan pengurus, beliau merupakan pemain sayap paling berbahaya di dunia. Malah Mourinho sendiri merupakan pengurus yang meminati bakatnya pada satu ketika dahulu.

Bercakap kepada Corriere dello Sport, Mourinho berkata, “Saya sangat kagum dengannya. Bale merupakan pemain bek kiri yang mampu bergerak sebagai pemain sayap juga. Dia mungkin lebih baik berbanding Ashley Cole.”

Bale dikenali dengan kepantasannya yang tidak terjangkau dan mampu menggunakan teknik bola sepaknya ketika sedang melakukan larian pantas. Ini membolehkannya menewaskan benteng lawan menerusi ruang sempit dan di belakang pertahanan.

Tottenham v Everton

Ketika tewas kepada Everton – merupakan kali pertama Mourinho tewas dalam aksi pertama liga sepanjang kariernya, beliau menurunkan formasi 4-2-3-1 dengan Harry Kane sebagai penggempur utama dibantu Lucas Moura, Dele Alli dan Son Heung-min.

Namun, sepanjang perlawanan berlangsung, dapat dilihat yang formasinya seakan-akan berubah kepada 4-4-2 dengan Alli bergandingan bersama Harry Kane di depan.

Melihatkan kepada situasi tersebut, adakah dengan kemasukkan Bale nanti, kita akan menyaksikan formasi 4-4-2 dengan Harry Kane bergandingan bersamanya? Antara Lucas Moura, Dele Alli dan Son Heung-min, siapa yang akan menjadi korban?

Rangkaian ini gagal menghasilkan gol berdepan Everton yang menurut Mourinho berkaitan kecergasan mereka. Sekiranya anda adalah Mourinho, siapa yang anda akan korbankan untuk memberi ruang kepada gandingan Bale dan Harry Kane?

Penutup

Adakah Tottenham dan Mourinho akan memperolehi apa yang mereka mahukan – seorang penyerang untuk bergandingan bersama Harry Kane? Ia akan lebih jelas dalam beberapa hari lagi selepas ianya dimuktamadkan oleh kedua-dua pasukan.

Pada hemat pembaca, adakah gandingan ini yang bakal menaikkan semula rating jentera serangan Tottenham? Mampukah mereka menjadi pesaing kejuaraan liga?

KREDIT FEATURED IMAGE: DailyFootyScout

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN