“Hanya Mahu Main Bola Sepak Sebenar” – Dion Cools Pesan Pemain Ikut Perancangan Jurulatih

Malam ini skuad kebangsaan bakal menghadapi ujian pertama mereka dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023 bagi peringkat Kumpulan E untuk menentang Turkmenistan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Setelah membuat persediaan dalam dua aksi persahabatan Tier 1 sebelum ini menentang Brunei Darussalam dan Hong Kong, skuad kendalian Kim Pan-gon bakal diuji sepenuhnya hasil daripada persiapan mereka.

Untuk rekod, Turkmenistan jauh lebih baik daripada segi ranking dan fizikal berbanding skuad kebangsaan yang dianggap bukan pasukan pilihan.

Namun, pemain pertahanan negara iaitu Dion Cools dilihat berada dalam keyakinan tinggi untuk berdepan lawan serta enggan menghiraukan kelebihan mereka kerana menyedari Malaysia juga mempunyai peluang.

Cools menyifatkan rakan sepasukan beliau mampu melakar sesuatu yang positif pada perlawanan malam ini sekali gus meraih kemenangan pertama dalam kejohanan tersebut.

Menurut Cools yang beraksi selaku pemain pertahanan kanan Malaysia, beliau melihat segalanya mampu dilakar dengan baik sekiranya para pemain fokus di atas padang dengan mengikuti segala perancangan jurulatih sewaktu sesi latihan.

Tiga mata bakal digenggam Malaysia jika para pemain mampu menterjemahkan segala perancangan yang sudah diterap buat para pemain untuk mengejutkan pasukan lawan.

“Benar diri saya dan pasukan belum pernah berjumpa dengan mereka (Turkmenistan), kami tidak dapat meneka bagaimana (kekuatan) fizikal atau bagaimana mereka akan bermain.

“Tetapi seperti yang jurulatih cakapkan, kami hanya mahu bermain bola sepak sebenar dan mendominasi di padang oleh itu boleh jadi ianya perlawanan fizikal, boleh jadi tidak, ianya sesuatu yang bakal kita lihat esok.

“Kita hanya perlu kekal dengan perancangan kita dan kita lihat esok,” katanya menerusi Arena Metro dalam sidang media.

Malaysia mempunyai beberapa pemain tonggak lagi yang mempunyai fizikal besar selain Coolsa iaitu Guilherme de Paula, Matthew Davies, dan Junior Eldstal untuk digunakan oleh Pan-gon dalam perlawanan tersebut.

Selain pertemuan skuad kebangsaan menentang Turkmenistan, dua lagi pasukan turut bakal membuat pertembungan dalam Kumpulan E yang membabitkan Bahrain menentang Bangladesh di SNBJ pada waktu petang.

Malaysia bakal meneruskan aksi pada hari Sabtu pula untuk berdepan Bahrain sebelum mengakhiri saingan dengan menentang Bangladesh pada Selasa depan.

Hanya pasukan juara peringkat kumpulan sahaja bakal mengesahkan diri ke Piala Asia selain lima pasukan terbaik naib juara untuk mengiringi di pusingan seterusnya.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply