Melihat penguasan Johor Darul Ta’zim (JDT) di dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan ada segelintir peminat mengatakan pasukan tersebut berjaya kerana pemilik mereka mempunyai sumber kewangan yang besar selain pengaruh yang kuat di negeri tersebut.
Siapa tidak kenal pemilik Harimau Selatan, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang berjaya mencipta pelbagai kejayaan sejak mengambil pasukan bola sepak JDT.
Persoalannya, betuk ke jika pemilik atau presiden kelab mempunyai kewangan yang kukuh mampu mencipta kejayaan dengan pantas?
Soalan seperti ini pernah ditanyakan kepada TMJ ketika wawancara bersama Astro Arena dan jawapan yang diberikan terhadap soalan tersebut sememangnya sukar untuk kita nafikan.
Jika ada duit tetapi tidak tahu menggunakannya ke arah yang betul dan tidak mempunyai minat mendalam terhadap sukan bola sepak, ia hanya sia-sia apatah lagi untuk mencipta kejayaan.
Seperti yang boleh kita lihat situasi ini sebenarnya terjadi di Liga M hampir setiap musim di mana ada pasukan mendapat dana dari kerajaan negeri atau pemilik mereka mempunyai sumber kewangan yang baik tetapi masih lagi gagal menjadi sebuah pasukan terbaik di Malaysia.
Sukan bola sepak ini bukan sahaja terselit elemen hiburan sebaliknya ia juga terdapat nilai perniagaan dan ini kebanyakan pemilik kelab memberi keutamaan berbanding prestasi pasukan terutama pasukan di Liga M.
Jika sekadar memberi keutamaan kepada perniagaan semata-mata dengan alasan untuk menampung kembali perbelanjaan tanpa melaburkan dengan secukup kepada pasukan, itu tindakan kurang tepat.
Maka apabila sesebuah pasukan itu gagal memberi keputusan seperti diinginkan, jurulatih pula menjadi mangsa dan ditamatkan kontrak serta merta.
Perkara ini yang terjadi kepada sebuah pasukan ketika ini sehingga ada peminat mereka begitu marah kepada pemilik kelab tersebut yang dikatakan memberi keutamaan kepada perniagaan berbanding tumpuan memajukan pasukan.
Setiap pemimpin dalam organisasi sudah pasti inginkan kejayaan namun ia harus realistik dengan skuad yang ada.
Bagaimana kita hendak mengharapkan sesuatu kejayaan jika keadaan pasukan itu serba kekurangan dari pelbagai aspek?
Disebabkan itu, timbul pelbagai peraturan yang agak jangkal kita dengar mengenai pasukan tersebut.
Selain itu, ada juga pasukan yang setiap tahun mendapat dana ‘durian runtuh’ dari kerajaan negeri namun hasilnya tetap sama dan kadang-kala jauh lebih teruk.
Ada yang sanggup membayar pemain import dengan harga begitu tinggi namun bila bersama pasukan tidak mampu memberi hasil positif dan kesudahannya, pemain tersebut hanya menikmati gaji yang lumayan sementara pemain lain di dalam pasukan pula bergelut mendapatkan keputusan terbaik.
Secara ringkasnya, duit bukanlah jaminan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan jika tiada kepakaran di setiap bahagian.
Akan tetapi pemimpin nombor satu di dalam pasukan harus tahu bagaimana hendak menggunakan dana yang ada untuk mendapatkan keputusan positif.