‘Pressing Trap’ & ‘Counter-pressing’: Konsep Taktikal Yang Boleh Buat ‘Gugur’ Jantung

Pressing trap

Permainan berintensiti tinggi sememangnya didambakan oleh setiap jurulatih dan juga peminat bola sepak.

Intensiti ini bukan sahaja membantu sesebuah pasukan ketika mereka sedang berada dalam fasa bertahan, malahan ianya turut membantu mereka untuk memperoleh semula penguasaan bola, sekali gus berupaya untuk mendominasi pasukan lawan.

Faktor intensiti ini juga akan mendorong sesebuah pasukan untuk cenderung mengenakan tekanan secara ‘high blocks’ (high pressings) setiap kali mereka kehilangan penguasaan bola.

Pendekatan ini akan mempengaruhi kelancaran binaan gerakan serangan pasukan lawan, serta memaksa mereka untuk bermain secara negatif, sekali gus memberi keuntungan kepada pasukan yang mengenakan tekanan tersebut.

Sebagai contoh, dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super Malaysia musim ini adalah disebabkan oleh faktor intensiti permainan mereka yang berada di kelas tersendiri berbanding pasukan lawan.

Namun, mereka turut menyediakan variasi taktikal setiap kali kehilangan penguasaan bola, apabila mereka tidak hanya bergantung kepada ‘high blocks’ semata-mata.

Malah, mereka turut bertahan secara sistematik dengan menyediakan ‘pressing trap’, yang kemudiannya membantu mereka untuk melakukan ‘counter-pressing’.

Trend ini turut terjadi dalam beberapa aksi perlawanan UEFA Champions League (UCL) minggu ini, melibatkan beberapa pasukan elit Eropah, seperti Real Madrid dan Napoli.

Pressing trap (perangkap tekanan)

Pressing trap‘ merupakan struktur perangkap yang disediakan di kawasan spesifik yang dijadikan sasaran oleh sesebuah pasukan.

Struktur ini akan disediakan secara kolektif bagi menyempitkan ruang serta opsyen hantaran pemain lawan, sekali gus menjadikan hantaran serta permainan mereka menjadi lebih mudah untuk dijangka.

Transisi serangan pasukan juga mampu dilancarkan dengan lebih berkesan, kerana kedudukan pemain-pemain yang menyediakan ‘pressing trap’ ini berada pada jarak yang ideal bagi memudahkan mereka melakukan tindakan ‘counter-pressing’ serta transisi serangan yang pantas ke atas pasukan lawan.

Gambar di atas merupakan contoh struktur ‘pressing trap’ yang diambil menerusi perlawanan UCL membabitkan Real dan Chelsea.

Ketika Chelsea memperoleh lontaran ke dalam, pemain-pemain Real telah menyusun ‘pressing trap’ serta menyediakan ‘defensive triangles’ di sekeliling mereka bagi menekan pemain lawan.

‘Pressing trap’ ini berjaya membantu Real Madrid untuk merampas semula penguasaan bola, serta melancarkan transisi serangan sebaik Toni Kroos melakukan ‘switching play’ kepada Dani Carvajal sebaik menerima hantaran daripada Federico Valverde.

Anda boleh perhatikan bagaimana blok pertahanan 5-3-2 Chelsea kini sudah tertarik ke bahagian wide area, dan mereka terpaksa mengambil sedikit masa bagi mebetulkan kembali blok pertahanan mereka apabila ‘switching play’ tersebut dilakukan, sekali gus mengakibatkan bukaan ruang di antara pemain mereka.

Bukaan ruang tersebut berjaya dieksploitasi oleh pemain-pemain Real iaitu Karim Benzema dan Vinicius Jr yang menyediakan larian sokongan dengan menyerang ruang tersebut.

Carvajal melakukan satu ‘lofted pass’ yang berjaya menemui Vini.

Ia kemudiannya melakukan satu ‘set’ kepada Benzema, sekali gus membantu penyerang Perancis tersebut untuk menjaringkan gol pertama pasukannya walaupun pada awalnya penjaga gol lawan berjaya menepis hantaran Vini.

Risiko bermain secara ‘counter-pressing’ (tekanan balas)?

‘Counter-pressing’ merupakan pendekatan taktikal yang menuntut respon serta ‘attitude’ daripada setiap pemain apabila pasukan mereka kehilangan bola (transisi negatif).

Pemain terlibat akan cenderung untuk meninggalkan kedudukan bertahan mereka dengan segera bagi menekan pemain lawan yang bakal menerima penguasaan bola secara kolektif (unit).

Syarat utama taktikal ini adalah setiap pemain yang melakukan ‘counter-pressing’ ini diwajibkan untuk memenangi bola!

Jika tidak berjaya pun sekurang-kurangnya berjaya untuk menghentikan transisi permainan daripada pasukan lawan. Ini berikutan kekosongan ruang yang ditinggalkan di belakang pemain yang sebelum itu keluar bagi menekan pihak lawan.

Kegagalan ‘counter-pressing’ ini akan mendedahkan pasukan yang menggunakan pendekatan permainan ini kepada situasi ‘underloading’ (kekurangan pemain) ketika transisi permainan berlaku.

Gambar di atas diambil daripada aksi UCL di antara AC Milan dan Napoli. Pemain tengah Napoli, Stanislav Lobotka (dalam bulatan) melakukan hantaran kepada rakan sepasukannya (Piotr Zielinski) dalam usaha untuk menembus kubu pertahanan lawan.

Namun hantaran tersebut terlalu kuat, serta membolehkan pemain AC Milan untuk memintas hantaran tersebut.

Transisi serangan AC Milan dimulakan oleh kapten mereka, Simon Kjaer (dalam bulatan) yang melakukan hantaran kepada Brahim Diaz yang berada di ‘space in between the lines’.

Pemain-pemain Napoli segera keluar untuk melakukan counter-pressing kepada Diaz dalam situasi 3v1.

Namun ‘counter-pressing’ yang dilakukan gagal menghalang Diaz.

Serta mendedahkan Napoli dalam situasi ‘underloading’ (3v5) yang menghasilkan jaringan kemenangan AC Milan untuk perlawanan ini.

Taktikal bikin ‘gugur’ jantung

‘Pressing trap’ serta ‘counter-pressing’ ini sememangnya tergolong di dalam salah satu elemen bola sepak moden.

Intensiti yang menjadi tema kepada pendekatan taktikal ini sering kali menghasilkan keterujaan. Namun, kegagalan memenuhi prinsip asas dalam memberikan tekanan akan mendedahkan pasukan tersebut kepada risiko gerakan serangan balas pihak lawan.

Hal ini berikutan struktur bertahan yang tidak lagi kompak susulan tindakan ‘counter-pressing’ yang dilakukan.

Taktikal ini secara asasnya amat menghiburkan untuk ditonton tapi harus diingat, ianya tidak baik untuk kesihatan terutamanya jantung anda.

Jadi, silalah menonton bola sepak dengan risiko anda sendiri.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN