Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui hantaran berkualiti menerusi bola mati dilakukan pemain tengah, Bruno Fernandes adalah antara yang terbaik pernah disaksikannya.
Kenyataan itu mungkin ada asasnya selepas sepakan sudut cantik yang diambil pemain kelahiran Portugal itu ditanduk masuk pertahanan termahal dunia, Harry Maguire pada minit ke-66.
Jaringan tersebut sekaligus membantu Manchester United meraih kemenangan 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Chelsea di Stamford Bridge, awal pagi tadi.
Anthony Martial membuka tirai jaringan pada penghujung babak pertama, juga menerusi tandukan selepas menerima umpanan lintang dari sebelah kiri pintu Chelsea yang dilakukan Aaron Wan-Bissaka.
”Dia [Bruno Fernandes] merupakan pemain yang hebat, dia mahu untuk mendapatkan bola.”
”Tetapi semua hantarannya hasil situasi bola mati sememangnya berkelas dunia, dia merupakan salah seorang yang terbaik pernah saya saksikan,” ujar Solskjaer bercakap kepada dalam sidang media selepas perlawanan.
”Dan Harry [Maguire], kita semua tahu sekiranya dia berlari ke bola, dia amat berbahaya dan berjaya mendapatkan jaringan.”
Bruno Fernandes yang sebelum ini beraksi bersama Sporting Clube de Portugal memilih untuk berhijrah ke Manchester United pada jendela perpindahan Januari lalu selepas memeterai perjanjian selama lima setahun setengah.
Selepas dua perlawanan bersama The Red Devils, pemain tengah berusia 25 tahun itu dilihat sudah mula memberikan impak yang positif buat pasukan.
Kredit foto: Manchester United