Neymar Akan Kembali Beraksi Menentang Dortmund

Penyerang Paris Saint-Germain, Neymar dijangka akan kembali beraksi berdepan Borussia Dortmund dalam perlawanan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Selasa ini.

Neymar sebelum ini dilanda kecederaan tulang rusuk sewaktu menentang Montpellier dalam saingan Ligue 1 pada awal bulan ini.

Pemain Brazil itu juga tidak diturunkan ketika pasukannya seri 4-4 dengan Amiens pada hujung minggu lepas dan Tuchel turut merehatkan pemain-pemain utama sebagai persediaan untuk perlawanan menentang kelab Jerman tersebut.

“Dia sudah bersedia, dia akan berlatih bersama pasukan dan sekiranya keadaannya cergas sepenuhnya, dia akan beraksi esok. Kerana pada kami, bila dia bermain, segalanya akan berubah dan saya amat berharap dia dapat beraksi.” kata Tuchel.

PSG telah tersingkir di peringkat kalah mati buat tiga musim berturut-turut sebelum ini dan pasukan tersebut tentunya terdesak untuk merakam rekod yang lebih baik dalam kejohanan tersebut.

“Neymar mampu mengubah cara permainan pasukan, sebab apabila dia bermain, kualiti, kayakinan dan kemampuannya amat diperlukan. Jika dia tidak beraksi, kami tiada pemain lain yang ada kualiti sama untuk menggantikannya.”

Tuchel sebelum ini pernah menjadi pengendali Dortmund selama dua musim sebelum menyertai PSG. Kini tugas berat menantinya untuk memastikan pasukannya mampu mengekang barisan pemain serangan Dortmund yang sudah menjaringkan 22 gol dalam lima perlawanan terakhir.

“Amat penting untuk beraksi dengan sepenuh keyakinan dalam stadium yang dipenuhi dengan penyokong yang mahukan kemenangan dan berdepan dengan pasukan seperti itu. Jika tidak, kami mungkin tidak akan mara ke peringkat seterusnya.

“Dalam keadaan seperti ini, semangat berpasukan adalah kunci utama.”

PSG tentunya dalam tekanan yang amat kuat untuk membawa pulang kejuaraan Eropah selepas sudah banyak berbelanja membawa masuk pemain-pemain bintang dalam tempoh beberapa tahun ini bagi mendapatkan skuad terbaik.

Musim lepas pasukan berkenaan hampir-hampir mara ke suku akhir tetapi telah dikecewakan Manchester United dengan gol minit-minit akhir pada perlawanan kedua.

Leave a Reply