Pemain sayap yang baharu sahaja menyertai Chelsea, Hakim Ziyech mengakui tiga orang legenda kelab tersebut merupakan idola beliau ketika zaman remajanya di Belanda.
Trio legenda yang dimaksudkan pemain berusia 27 tahun itu ialah John Terry, Didier Drogba dan pengurusnya pada ketika ini, Frank Lampard.
Tiga nama yang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dan telah memberikan sumbangan cukup hebat ketika zaman kegemilangan Chelsea sehingga kelab tersebut berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali pada tahun 2012.
Sehubungan dengan itu, Ziyech tidak menolak kenyataan bahawa perkara tersebut menjadi antara sebab mengapa beliau memilih untuk mengembangkan kariernya ke Chelsea.
”Ketika anda masih remaja, anda pastinya sentiasa mahu untuk beraksi bersama kelab yang besar, sudah tentu dalam saingan Liga Perdana Inggeris,” ujar Ziyech menurut laporan Football.London.
”Dan ketika saya masih muda, pemain-pemain tersebut bermain di sini. Ia sentiasa merupakan kelab besar, jadi saya sangat gembira dan sangat bermakna.”
”Saya masih mengingati ketika beraksi bersama skuad remaja di Heerenveen dan mempunyai beberapa rakan sepasukan yang pernah beraksi dengan Drogba, Lampard dan semua nama besar itu, Terry.”
”Kami sentiasa [menyokong] ada untuk Chelsea dan lihatlah sekarang, jika anda bermain di sini, ia sangat bermakna buat saya,” tambah Ziyech lagi.
Ziyech yang berjaya menjaringkan lapan gol dan mencipta 21 bantuan jaringan dalam 35 penampilannya di semua pertandingan pada musim ini telah melengkapkan perpindahan ke Chelsea dengan yuran perpindahan mencecah nilai €40 juta.
Kehadirannya bersama Timo Werner dilihat oleh banyak pihak mampu untuk menjadikan Chelsea sebagai antara pasukan pesaing dalam merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris pada musim hadapan.
Kredit featured image: Chelsea FC
Baca artikel lain dari kami mengenai Hakim Ziyech: