Pemain Ajax Amsterdam, Hakim Ziyech berang dengan keputusan badan induk bola sepak Belanda yang mengisytiharkan musim 2019/2020 Eredivisie sebagai batal.
Keputusan itu menyaksikan tiada pasukan yang diangkat sebagai juara selain penyingkiran dan kenaikan pangkat dari divisyen bawahan ke liga utama Belanda juga tidak diambil kira pada musim ini.
Dalam laporan Goal, Ziyech jelas tidak boleh menerima keputusan yang diambil oleh badan induk bola sepak Belanda itu dengan menganggap keputusan itu sebagai “sembang kencang”.
“Tolonglah, benda merepek apa yang saya dengar ni?”
Ziyech jelas tidak berpuas hati kerana terdapat pihak yang mengatakan pencabar terdekat Ajax Amsterdam iaitu AZ Alkmaar lebih berhak untuk diangkat sebagai juara kerana mereka berjaya menewaskan pasukan Ziyech sebanyak dua kali dalam saingan liga.
Akan tetapi, walaupun telah tewas dua kali tetapi Ajax Amsterdam masih menghuni tangga teratas Eredivisie dengan kelebihan jaringan.
“Banyak cerita yang katakan AZ Alkmaar lebih berhak menjadi juara kerana berjaya menewaskan kami sebanyak dua kali. Habis itu, perbezaan jaringan sering digunakan sudah tidak berguna lagi?”
“Ini semuanya hanyalah sembang sahaja, macam mana PSV Eindhoven muncul juara pada 2007? Ya dengan hanya dengan dibezakan dengan satu gol sahaja.”
Ziyech berasa sedikit ralat tidak dapat menamatkan musim ini dengan normal bukanlah kerana tidak berjaya memperoleh kejuaraan, sebaliknya kerana dirinya akan meninggalkan Ajax Amsterdam pada penghujung musim ini untuk ke Chelsea.
“Itu akan menjadi penamat saya yang paling bergaya [memenangi liga di akhir musim]. Tapi buat masa sekarang, anda tidak mahu ianya untuk berakhir.”
“Tetapi untuk tempoh jangka panjang, saya akan hargai semua kenangan terindah saya.”