‘Hadiah’ Lonjak Semangat Para Pemain, Tegas Aidil Sharin

Aidil Sharin Kedah PJ City FC Liga SUper 2020

Menurut Aidil Sharin, kehadiran Bendahari pasukan ke bilik persalinan sebelum perlawanan semalam sedikit sebanyak membantu menaikkan semangat Kedah.

Ia bukan satu perlawanan yang mudah apabila Kedah terlebih dahulu ketinggalan satu gol sebelum bangkit meledak dua gol seterusnya meraih tiga mata penuh berdepan PJ City FC. Perlawanan turut diiringi dengan hujan renyai adakala lebat.

Ada hadiah untuk para pemain

Semua sedia maklum yang skuad Helang Merah sebelum ini melalui fasa lima bulan gaji tertunggak sehingga memaksa para pemain dan pengendali, Aidil Sharin sendiri bersuara mengenainya apabila liga semakin hampir disambung semula.

Pertukaran jawatan tertinggi dalam Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) juga berlaku menyukarkan mereka untuk menyalurkan aduan masalah kepada pihak atasan. Namun, sejak beberapa minggu lalu, segala nampak kian bertambah positif.

Kedah PJ City FC Liga Super 2020
Kesebelasan utama Kedah menentang PJ City FC. FOTO: Kedah FA

Kata Aidil Sharin, “Kehadirannya memberi impak. Sudah tentu saya perlu berikan kredit kepadanya kerana membuatkan suasana kembali ceria. Saya tidak mahu dedahkan apa hadiah tersebut tetapi ada sesuatu buat mereka.”

“Ia telah membantu meningkatkan moral mereka sebelum aksi bermula. Ini yang kita mahukan daripada pihak pengurusan dan saya sangat gembira, segalanya berubah sedikit demi sedikit,” tambahnya sambil mengucapkan terima kasih.

Kedah bermain sangat baik

Mengulas mengenai aksi anak buahnya, walaupun keadaan padang yang basah dan berat akibat hujan yang melanda, para pemain berjaya memberikan aksi baik.

“Para pemain bermain dengan sangat baik malam ini. Saya rasa Baddrol [Bakhtiar] memberikan segalanya dengan bentesan-bentesannya sebanyak pemain pertahanan,” puji Aidil Sharin terhadap prestasi kaptennya pada malam ini.

Baddrol Bakhtiar Kedah PJ City Liga Super 2020
Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar cemerlang ketika menentang PJ City FC. FOTO: Kedah FA

Turut menerima pujiannya adalah bek tengah, Irfan Zakaria yang menurutnya semakin hari, semakin menjadi pemain pertahanan berkualiti. Gandingannya bersama Shakir Hamzah mempamerkan persefahaman yang semakin tinggi.

Pengendali berusia 43 tahun itu juga gembira melihat aksi pemainnya yang menekan pasukan lawan sehingga 90 minit dan mengakui ia bukan perlawanan yang mudah jika dilihatkan bagaimana PJ City membentuk formasi yang kompak.

Penutup

Ia sesuatu yang menggembirakan Aidil Sharin melihat aksi positif para pemainnya yang bangkit selepas ketinggalan. Fokusnya kini terarah untuk aksi berdepan FELDA United pada minggu depan yang akan berlangsung di padang tiruan.

Kedah ketika ini menduduki kedudukan ketiga saingan CIMB Liga Super 2020, berkongsi 10 mata dengan Terengganu FC yang berada di kedudukan kedua.

KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA

Leave a Reply