Penyerang Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez disifatkan oleh pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan sebagai memiliki kualiti yang diperlukan untuk memperkuatkan jentera serangan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Penyerang kelahiran Hidalgo, Mexico itu menikmati musim memberangsangkan selepas menjaringkan 22 gol dalam 44 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai Wolves.
Jimenez yang dipinjamkan dari Benfica pada musim lalu pantas memberikan impak positif dalam membantu Wolves menamatkan saingan EPL 2018/19 di tempat ketujuh, sekaligus melayakkan kelab tersebut ke pusingan kedua kelayakan Liga Europa musim ini.
Sedar beliau mampu menjadi tonggak di barisan hadapan pasukan, Nuno Espirito Santo bertindak melengkapkan perpindahan secara tetap dengan nilai berjumlah £30 juta dicatatkan.
Melihatkan kepada kualiti yang dimiliki Raul Jimenez, Gundogan menilai penyerang tersebut mampu untuk menjadi tambahan hebat buat Manchester City.
”Saya merasakan dia mempunyai segalanya yang diperlukan oleh seorang penyerang berkelas dunia.”
”Untuk seorang penyerang, dia sangat mudah bergerak tetapi secara fizikalnya sangat bagus dan berbakat secara teknikal ketika bersama bola. Saya dapat membayangkan sekiranya dia bermain bersama kami,” ujar Gundogan menurut laporan Goal.
Sumbangan hebat Jimenez dan rakan sepasukannya telah melayakkan Wolves beraksi di peringkat 16 Liga Europa musim ini dan telah diundi untuk bertemu wakil Greece, Olympiakos. Aksi pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Bagi saingan EPL pula, Wolves masih di landasan terbaik untuk menamatkan saingan di kelompok empat pasukan terbaik sekaligus melayakkan diri ke kempen Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Kredit foto: Chloe Knott – Danehouse/Getty Images