Arsenal jadikan Chelsea mangsa kebangkitan daripada kekecewaan tewas kepada Man City hasil jaringan Martin Odegaard dan Gabriel Jesus untuk meraih kemenangan 3-1 di Emirates dan naik ke takhta Premier League.
Man City masih berbaki dua perlawanan di tangan akan kembali memintas The Gunners jika mereka berjaya mengatasi West Ham, awal pagi nanti.
“Ia belum berakhir“, bak kata Mikel Arteta pada Isnin lalu. Persaingan merebut kejuaraan antara kedua-duanya masih sengit berlangsung.
Mereka kembali pamerkan karekter pesaing dengan ‘menamatkan’ aksi menentang Chelsea hanya dalam tempoh 34 minit sahaja apabila telah mendahului 3-0 hasil ledakan Odegaard dan Jesus di babak pertama.
Sekurang-kurangnya, kemenangan ini telah memberikan lonjakan moral.
Another London derby victory 👊
Relive a special night at Emirates Stadium in our highlights package 👇 pic.twitter.com/vAG9SEpoG3
— Arsenal (@Arsenal) May 2, 2023
Odegaard mempamerkan permainan memukau dalam perlawanan awal pagi tadi apabila bekerja tanpa jemu, sering kali meminta bola diberikan kepadanya dan mencorakkan permainan Arsenal untuk mengatasi Chelsea.
Malah, dua gol yang diledaknya itu menjadikannya pemain tengah yang memiliki jaringan terbanyak di Premier League setakat ini – 14 gol.
Malah Arteta memuji kualiti yang dimilikinya dalam sidang media, “Dengan 14 gol dijaringkannya musim ini, sumbangannya terhadap pasukan, kualiti kepimpinannya membuatkan saya sangat gembira dengannya.”
Dua hantaran lintang rendah Granit Xhaka disudahkannya dengan penuh bergaya di depan gawang Chelsea yang dikawal Kepa Arrizabalaga.
Dua gol dalam 30 minit nyata merentap semangat The Blues dan mereka sekali lagi dikejutkan dengan gol jarak dekat Jesus pada minit ke-34. Ia menutup terus harapan buat pelawat untuk bangkit dalam perlawanan.
Cubaan Frank Lampard mengubah formasi taktikalnya daripada bek bertiga sebelum ini kepada 4-3-3 memakan dirinya, malah pemilihan Pierre‑Emerick Aubameyang yang kembali ke dalam kesebelasan utama juga langsung tidak membantunya. Aubameyang gagal memusnahkan bekas majikannya.
Goals everywhere you look! @Arsenal are the only side to have four different players score 10+ goals this season 🔥 pic.twitter.com/13DB0JQVNY
— Premier League (@premierleague) May 2, 2023
Beliau hanya merekodkan sembilan sentuhan dalam perlawanan ini – empatnya adalah sepak mula, sebelum dikeluarkan ketika babak pertama.
Chelsea akhirnya berhasil mencipta gol pada minit ke-65 hasil sentuhan Noni Madueke – jaringan pertamanya bersama The Blues musim ini. Ia juga jaringan kedua tercipta di bawah kendalian Lampard dalam enam aksi.
Arsenal merupakan satu-satunya pasukan dalam lima liga terbaik di Eropah yang memiliki empat penjaring gol dengan jumlah dua angka – Gabriel Martinelli (15 gol), Odegaard (14), Bukayo Saka (13) dan Jesus (10).
Malah, 55 gol yang telah dijaringkan Jesus dalam saingan Premier League menyaksikan 50 daripadanya membantu pasukannya untuk menang.