Mohamad Ghaddar mengganas dalam kepulangan pertamanya bersama Kelantan apabila menjaringkan 2 gol untuk membantu Kelantan menewaskan PKNS 3-1 di Stadium Shah Alam petang tadi.
Kelantan turun dalam formasi 4-4-1-1 dengan majoriti kesebelasan utama musim lepas. Kehadiran pemain baru, Alessandro Padovani dan Mohamad Ghaddar memberi sedikit rasa teruja kepada kira-kira 7,000 penyokong Kelantan yang turun ke Stadium Shah Alam.
PKNS yang kembali beraksi dalam Liga Super sejak 2014 pula turun dengan formasi 4-4-2. Penyerang ‘sensasi’ kebangsaan, Safee Sali bergandingan di bahagian serangan bersama Patrick Ronaldinho.
Di bahagian pertahanan, PKNS menurunkan Azmi Muslim dan bekas pemain Kelantan, Amirizwan Taj. Di lain-lain posisi, PKNS mengekalkan kesebelasan utama mereka pada musim lepas.
Separuh masa pertama milik Kelantan
Perlawanan berlangsung dalam tempo yang perlahan dengan kedua-dua pasukan nampak bergelut untuk menyesuaikan diri dalam keadaan padang yang licin.
Bagaimanapun Kelantan terlebih dahulu mendahului 1-0.
Seawal minit ke-7, pertahanan PKNS sudah mual menunjukkan tanda-tanda retak apabila Amirizwan Taj terpaksa menjatuhkan Ghaddar di luar kotak penalti PKNS.
Kapten Kelantan, Badhri Radzi tampil ke depan mengambil sepakan percuma. Biarpun sepakannya ditepis oleh Nor Haziq, kealpaan pertahanan PKNS membantu penjaga gol mereka membolehkan Ghaddar menyambar peluang dari jarak dekat.
13 minit kemudian, Kelantan menunjukkan sekali lagi kerapuhan benteng PKNS.
Hantaran lintang kiri Ghaddar hampir-hampir disambar oleh Padovani. Tetapi kekasaran dalam kotak penalti yang dilakukan pertahanan PKNS ke atas Padovani menyebabkan Kelantan dihadiahkan sepakan penalti.
Ghaddar tampil ke depan mengambil penalti. Sekali lagi, biarpun Nor Haziq berjaya menyelamatkan penalti tersebut, ia masih tak menghalang Ghaddar untuk menyempurnakan peluang follow-up.
PKNS 0. Kelantan 2.
Ketika perlawanan nampak berakhir 2-0, PKNS secara tiba-tiba berjaya menjaringkan gol. Berpunca dari sepakan percuma pantas, hantaran lintang S. Sivanesan menemui tandukan Gonzalo Soto.
PKNS 1. Kelantan 2.
PKNS bangkit
Masuk separuh masa kedua, PKNS tampil lebih bertenaga. Safee Sali mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan 2-2 apabila tandukannya mengenai sasaran hasil hantaran lintang Matias Hadwa di sebelah kanan.
Bagaimanapun Kelantan mempunyai perancangan lain.
Belum sempat PKNS meneruskan momentum serangan mereka, Badhri Radzi (gambar bawah) menjaringkan gol ke-3 Kelantan pada minit 49′ melalui sepakan percuma cantik dari luar kotak penalti.
Pertahanan PKNS pastinya menyesal kerana menjatuhkan Margaro Gomis di kawasan bahaya tersebut. PKNS 1. Kelantan 3.
Sayap kiri Kelantan mengancam
Dengan Indra Putra dan Mohamad Ghaddar sering bertukar-tukar posisi tengah dan sayap kiri untuk mengelirukan Sharul Azhar Ture, sayap kiri Kelantan nampak berbahaya.
Larian overlapping Qayyum Marjoni juga banyak menambah sengat serangan Kelantan di sayap kiri.
Ketua jurulatih PKNS, E. Elavarasan cuba juga menambah sengat serangan sayapnya dengan memasukkan Khyril Muhymeen. Tetapi kegagalan jentera tengah PKNS mengawal perlawanan hanya menyebabkan Kelantan semakin ghairah menyerang kubu PKNS bertubi-tubi.
PKNS cuba bangkit dengan bermain lebih direct. Tetapi Khairul Fahmi dan barisan pertahanannya cekal mengekang ancaman PKNS.
Kelantan hampir-hampir menjaringkan gol ke-4 menerusi serangan balas pada minit ke-88. Tetapi kecekapan Nor Haziq menyelamatkan 2 percubaan jarak dekat Kelantan membolehkan kedudukan kekal 3-1 sehingga tamat perlawanan.