Pemain tengah Liverpool, Georginio Wijnaldum mengakui kejayaan menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim lalu adalah kenangan yang hebat tetapi kini beliau mengintai satu lagi aksi final pada edisi kali ini.
Wijnaldum memainkan peranan cukup penting pada musim lalu apabila mencipta dua jaringan pantas sebaik sahaja dimasukkan pada awal babak kedua ketika aksi separuh akhir kedua bertemu Barcelona yang menyaksikan The Reds menang 4-0 sekaligus layak ke final.
”Apa yang berlaku sebelum ini [juara UCL] sudah berlalu. Kami mencipta memori yang hebat buat diri kami sendiri tetapi ia bukanlah yang harus kami fikirkan pada ketika ini.”
”Sudah tentu ia memberikan keyakinan jika anda berada pada situasi tersebut tetapi ia adalah kempen Liga Juara-Juara yang berbeza: perlawanan yang berbeza, situasi berbeza, pasukan berbeza.”
”Kami hanya perlu pastikan yang kami bersedia dan tidak memikirkan mengenai musim lalu.”
”Ya, ia merupakan memori yang hebat tetapi kami memandang ke depan untuk menjadikannya lebih hebat dan sekali lagi layak ke perlawanan akhir. Tidak memandang ke belakang tetapi sebaliknya [memandang ke hadapan],” ujar Wijnaldum lagi.
Liverpool yang kecundang 0-2 pada aksi pembukaan kumpulan E ditangan Napoli akan menanti kunjungan Red Bull Salzburg pada pagi Khamis ini. Ia merupakan penampilan sulung Liverpool di laman sendiri dalam kancah Eropah selepas berjaya menjuarai saingan musim lalu.