Brazil bakal bertemu Belgium di peringkat suku akhir Piala Dunia 2018 pada Sabtu ini, 7 Julai 2018.
Kazan Arena bakal menjadi saksi pertemuan pasukan yang berada di ranking kedua dan ketiga ranking FIFA untuk membuktikan siapakah jaguh sebenar.
Sudah pasti perlawanan tersebut bakal disajikan dengan aksi persembahan menarik dari kedua-dua pasukan.
Brazil yang tampil untuk membalas kekecewaan empat tahun lalu pasti ingin memburu gelaran Piala Dunia keenam setelah kali terakhir bergelar juara pada tahun 2002.
Manakala bagi Belgium, Roberto Martínez dan anak buahnya punyai misi tersendiri untuk mencipta sejarah menewaskan Brazil sekaligus berpeluang memburu gelaran juara dunia pertama buat negara mereka.
Rekod pertemuan
Brazil telah memenangi tiga daripada empat perlawanan menentang Belgium sejak kali pertama dua pasukan itu bertemu pada 24 April 1963.
Bagi Belgium, mereka pasti ingin menamatkan badi kekalahan tiga kali berturut-turut kepada Brazil sepanjang rekod pertemuan kedua-dua pasukan.
Kejayaan menewaskan Brazil 5-1 pada tahun 1963 mungkin sudah dianggap lapuk ditelan zaman.
Ini merupakan rekod pertemuan di antara kedua-dua pasukan :
Pertembungan di Piala Dunia 2002
Untuk rekod, kedua-dua pasukan pernah bertemu hanya sekali dalam kejohanan Piala Dunia iaitu pada edisi Piala Dunia 2002 di Korea Selatan-Jepun.
Piala Dunia 2002 merupakan zaman emas bagi skuad A Seleção di pentas Piala Dunia.
Skuad Brazil yang dibimbing oleh Luiz Felipe Scolari ketika itu telah diperkuatkan dengan ramai pemain-pemain bintang seperti Cafu, Lucio, Roberto Carlos, Ronaldinho, Juninho, Rivaldo dan Ronaldo.
Brazil telah diundi dalam kumpulan C bersama Turki, Costa Rica dan China.
Sementara Belgium pula diundi berada dalam Kumpulan C bersama tuan rumah, Jepun, Rusia dan Tunisia.
Kedua-dua pasukan telah berjaya menempah tiket ke peringkat 16 pasukan terbaik apabila Brazil menjuarai Kumpulan C manakala Belgium dinobatkan sebagai naib juara Kumpulan H.
Brazil kemudiannya dijadualkan bertemu Belgium pada pusingan kedua yang diadakan di Stadium Kobe Wing, Jepun pada 17 Jun 2002.
Beraksi dihadapan hampir 40,000 penonton, menyaksikan kemenangan berpihak kepada Brazil dengan jaringan 2-0.
Separuh masa pertama perlawanan berlangsung hambar selepas kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang gol sehingga tamat babak pertama perlawanan.
Bermula separuh masa kedua, Brazil masih buntu untuk menjaringkan gol meskipun penguasaan bola berpihak kepada mereka.
Setiap serangan yang dilakukan menerusi gandingan tiga serangkai Brazil iaitu Ronaldo, Rivaldo dan Ronaldinho masih belum mampu untuk memecahkan benteng pertahanan Belgium yang diketua oleh Daniel van Buyten dan Nico van Kerckhoven.
Situasi itu memaksa Felipe Scolari mula merencanakan semula taktikal serangan dengan membawa masuk Denilson dan mengeluarkan Juninho pada minit ke-57.
Kemasukkan Denilson sedikit sebanyak berjaya mengubah tempo permainan skuad Samba.
Brazil yang melancarkan serangan demi serangan ke kubu Belgium akhirnya membuahkan hasil menerusi jaringan Rivaldo pada minit ke-67 selepas menerima hantaran lintang dari Ronaldinho.
Rivaldo tidak menpersia-siakan peluang terhidang apabila menerima bola dengan sempurna dan membuat pusingan sebelum melakukan rembatan kencang ke arah gawang gol Belgium.
Rembatan padu Rivaldo terkena kaki pemain pertahanan Belgium, Timmy Simmons sebelum bola itu menerjah jaring.
Ronaldo memastikan Brazil melangkah ke peringkat suku akhir dengan kemenangan bergaya apabila beliau menambah gol kedua Brazil pada minit ke-87.
Gol tersebut hadir selepas Ronaldo memanfaatkan hantaran daripada Denilson dengan melakukan sepakan terus menewaskan penjaga gol Belgium, Geert de Vlieger.
Jaringan kedua itu kekal sehingga tiupan wisel penamat, sekaligus melayakkan Brazil ke peringkat suku akhir bertemu England di Stadium Shizuoka, Fukuroi.
Penutup
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada awal pagi nanti. Apa pendapat anda?
Mampukah Brazil mengulangi pencapaian mereka pada 2002 dengan menewaskan Belgium?