Ada satu individu yang mahukan Argentina dan Lionel Messi layak ke saingan separuh akhir Qatar 2022 hanya sekadar untuk merasakan kekalahan di peringkat tersebut.
Niat yang begitu busuk hati lagi dengki itu disuarakan oleh Fred yang mahukan Messi berduka lara lagi di saingan Piala Dunia.
Fred yang merupakan bekas penyerang Brazil (jangan keliru dengan Fred si pemain tengah dari negara sama) begitu mahukan Messi dan Argentina menewaskan Belanda di suku akhir.
Begitu yakin Brazil akan menewaskan Croatia di suku akhir, Fred mahukan pertemuan antara dua jagoan bola sepak Amerika Selatan di separuh akhir supaya skuad Samba boleh membalas dendam kekalahan di perlawanan akhir Copa America 2021.
Fred mahukan Neymar menjadi duri dalam daging dengan melakukan tindakan ‘menghancurkan’ Messi dan Argentina dalam perlawanan tersebut.
“Saya mahukan perlawanan separuh akhir antara Brazil dengan Argentina.
“Saya mahukan kehancuran, Neymar menjaringkan sepakan penalti dengan Messi menangis,” kata Fred.
Fred yang terkenal kerana ketumpulannya mengetuai serangan Brazil di Piala Dunia 2014 dilihat cukup berselera untuk menewaskan Argentina seandainya kedua-dua negara ini bertemu.
Ianya boleh direalisasikan sekiranya Brazil menewaskan Croatia dan Belanda ditundukkan Argentina dalam aksi suku akhir.