Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui kehadiran dua pemain baharu, Hakim Ziyech dan Timo Werner bagi menghadapi musim 2020/21 bakal membuka ruang buat The Blues untuk menjadi pencabar kepada Liverpool dan Manchester City.
Selepas kali terakhir Chelsea muncul juara Liga Perdana Inggeris dalam saingan 2016/17, Manchester City ditabalkan juara pada dua musim berturut-turut dan kempen 2019/20 pula kelihatan semakin hampir buat Liverpool untuk menamatkan penantian panjang mereka.
Keadaan itu secara tidak langsung memperlihatkan terdapat jurang terhadap keupayaan hebat Manchester City dan Liverpool berbanding pasukan-pasukan lain termasuklah Chelsea.
Sehubungan dengan itu, Lampard merasakan kehadiran Ziyech dan Werner yang mampu untuk menjadi sandaran buat skuad bimbingannya itu bakal membawa Chelsea setanding dengan dua kelab gergasi tersebut.
Lampard dalam pada itu turut mengakui komunikasi yang baik bersama pengurusan tertinggi kelab juga menjadi kunci kejayaan mereka membawa masuk pemain dimahukannya.
”Saya masih belum berkomunikasi dengannya [Roman Abramovich] pada ketika ini. Saya banyak berhubung dengan Marina [Granovskaia] dan Petr [Cech].”
”Kami berhubung dengan baik dan banyak membincangkan tentang perkara ini dan komunikasi adalah kunci dalam menjayakannya,” ujar Lampard menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Apabila anda katakan bahawa saya sangat mengenali pemilik, di tempat kerja, hingga tahap tertentu, saya tahu. Tetapi saya juga memahami apa yang dia mahukan buat kelab ini.”
”Saya pernah bermain dibawahnya, saya merasakan sebagai pemain apabila pertama kali dia tiba di sini, jadi saya faham perbualan saya dan Marina akan sentiasa disampaikan kepadanya.”
”Saya mahu menjadi sepertinya, Dari aspek komitmennya, saya merasakan dia telah menunjukkan komitmen berterusan terhadap kelab ini. Kami telah melakukan pembelian pemain pada ketika ini mengharapkan ada peningkatan untuk musim hadapan dan kami mahu melangkah ke hadapan.”
”Perkara yang saya sedar apabila menjadi pengurus, saya sudah lama berada di sini sebagai pemain tetapi sebagai seorang pengurus, orang ramai akan berterusan bertanyakan kepada anda tentang hubungan anda dengan ahli lembaga pengarah dan pemilik pasukan.”
”Saya berharap ini akan menunjukkan bagaimana cara kami bekerja bersama-sama, pengambilan pemain, pemantau bakat dan semuanya memainkan peranan sendiri, cuba untuk membawa masuk pemain yang tepat.”
”Jadi, saya merasakan kami perlu untuk menjadi sangat positif. Ini adalah Kelab Bola Sepak Chelsea dan kami mahu merapatkan jurang dan menandatangani pemain seperti Timo dan Ziyech, kedua-duanya adalah pernyataan yang bagus.”
”Ada posisi lain yang akan kami pertingkatkan,” tambah Frank Lampard lagi.