Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui rekrut terbaharunya, Thiago Silva mampu untuk memainkan peranan penting buat skuad The Blues bagi menghadapi saingan baharu musim 2020/21 yang secara rasminya akan bermula 12 Jun nanti.
Pengalaman luas dan sifat kepimpinan tinggi dimiliki pemain kelahiran Brazil itu turut dituntut Lampard supaya dapat dicurahkan kepada skuad mudanya yang nyata amat memerlukan aspek tersebut.
Silva menyertai Chelsea secara percuma selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) berakhir pada Jun lalu dan memeterai kontrak selama setahun dengan pilihan untuk melanjutkannya setahun lagi pada musim hadapan.
”Dengan Thiago Silva, kami mencari pemain yang saya sangat mengenalinya dengan baik, sama seperti kita semua,” ujar Lampard menurut kenyataan di laman sesawang rasmi Chelsea FC.
”Dia membawa pengalaman yang hebat buat kami, dia masih beraksi di pentas yang tertinggi, seperti mana kami melihat aksinya di perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan perlawanan-perlawanan ke final.”
”Jadi, saya mengharapkan dia datang ke sini dan membawa pengalaman, kepimpinan dan kualitinya. Ia akan menjadi sangat penting buat kami.”
”Kami mempunyai skuad yang agak muda, saya melihatnya pada musim lalu, terdapat perlawanan selepas itu di mana saya mungkin meminta lebih banyak suara dan lebih kepimpinan dalam cara berbeza dan dia membawanya secara semulajadi.”
”Dia juga boleh bercakap [memberikan arahan] di dalam padang dan menjadi pemain yang mempengaruhi orang lain. Pada tahap itu saya berharap dia dapat membawanya.”
”Saya sangat yakin dengan kualiti yang kita tahu dimilikinya, jadi saya sangat gembira apabila dia menyertai kami.”
Chelsea akan berdepan Brighton di gelanggang lawan pada pertemuan sulung Liga Perdana Inggeris 2020/21 yang dijadualkan berlangsung pada 15 September nanti.
Kredit featured image: Bob Thomas/Popperfoto via Getty Images/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai perpindahan pemain pertahanan kental ini ke Chelsea: