Quantcast

BERITA

Frank Lampard: Saya Nak Chelsea Bermain Seperti Liverpool Dan Man. City

‘High tempo press’ – itulah perkara pertama yang akan kita gambarkan apabila bercerita tentang ‘bermain seperti Liverpool dan City’.

Pengurus baharu Chelsea, Frank Lampard menyatakan beliau mahukan pasukannya bermain sedemikian dalam permainan mereka. Beberapa hari lalu, Lampard memberitahu bahawa Chelsea masih ada banyak kerja untuk dilakukan untuk menandingi kualiti Liverpool dan Man. City – terutama sekali dari sudut taktikal.

Lampard optimis dengan unit pemain yang ada akan mampu membentuk pasukan yang boleh bermain dengan intensif serta posesif. Tambahan pula, Chelsea ditinggalkan dengan DNA Sarriball yang berasaskan penguasaan bola dan ‘high pressing’.

Bercakap kepada Sky Sports, Lampard berkata: “Saya rasa saya ditinggalkan dengan pemain-pemain yang bagus. Kami tidak boleh membeli pemain, kita semua tahu perkara itu, tahun ini. Namun saya tak perlukan pemain baharu.”

“Saya gembira dengan skuad yang ada dan kesungguhan mereka untuk berjaya.”

“Saya sangat kenal dengan kelab ini, saya juga sangat kenal dengan para pemain. Saya ada cara saya tersendiri untuk bekerjasama dengan para pemain.”

“Saya nak kata yang seminggu ini, dalam sesi latihan kami – saya sangat gembira dengan sikap dan kualiti para pemain.”

Chelsea akan berhadapan dengan Barcelona pada Selasa hadapan di Jepun. Beliau mendedahkan bahawa beliau sedang membina pasukan yang boleh bermain seperti Liverpool dan Man. City – pasukan yang berterusan menekan lawan di setiap penjuru padang.

Lampard menambah: “Jadi, tugas saya perlu bekerja keras di kem pra musim bersama mereka.”

“Saya mahukan pasukan saya bermain dengan penuh bertenaga, penuh kepantasan – sama ada dengan bola ataupun tanpa bola. Jadi, apabila kita hilang bola, kita harus memenanginya semula secepat yang mungkin kita mampu.”

“Apabila ada penguasaan bola, saya mahukan ia digerakkan dengan pantas dan mencipta seberapa banyak peluang untuk memenangi perlawanan. Dan juga saya mahukan para pemain menikmati bola sepak yang mereka mainkan.”