Quantcast

BERITA

FAM Tarik Geran RM3 Juta Dari Pasukan Terbabit Untuk Langsai Hutang

Sebanyak RM3 juta daripada geran, atau pun lebih tepat lagi bayaran hak penyiaran yang sepatutnya diagihkan kepada setiap pasukan Liga Malaysia pada musim ini akan diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tujuan membayar hutang – terutama yang membabitkan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada hari ini.

Foto: FAM

Menurut Stuart perkara itu dilakukan berdasarkan beberapa kes yang sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Statut badan induk bola sepak negara itu sebelum ini, dan perkara tersebut juga telah dimaklumkan kepada MFL dan rakan kongsi MFL yang terlibat.

“RM3 juta membabitkan beberapa pasukan yang sebelum ini dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Status FAM kerana terbabit dengan isu tunggakan gaji serta didenda kerana melakukan kesalah tertentu.

“FAM sudah berhubung dengan MFL bagi menjelaskan situasi terbabit dan kita hanya mengambil apa yang perlu dibayar saja,” katanya seperti yang dipetik dari laporan Berita Harian pada hari ini.

Antara kes yang pernah diputuskan oleh jawatankuasa FAM itu sebelum ini ialah seperti tuntutan bekas Ketua Jurulatih, B. Sathianathan terhadap bekas majikannya, Felda United berhubung ‘signing fees’.

Kelantan juga mempunyai beberapa kes bersama FAM sebelum ini dan pernah diarahkan untuk membayar tunggakan gaji tiga bekas pemain iaitu Mohd Daudsu Jamaluddin (RM33,000),Norhafiz Zamani Misbah (RM87,500) dan Zairul Fitree Ishak (RM52,500).