Quantcast

BERITA

Presiden FIFA Ucap Tahniah Sempena Kejuaraan Liga Super Ke-6 JDT

Presiden Perseketuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah pasukan itu menjuarai kejuaraan ke-6 Liga Super secara berturut-turut pada musim ini.

Menurut perkongsian yang dilakukan oleh rangkaian media sosial kelab, Infantino menyampaikan ucapan tahniah beliau melalui sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Dato’ Hamidin Haji Mohd Amin baru-baru ini.

Mengulas kejayaan JDT dalam surat tersebut, Infantino dipetik sebagai berkata:

“Ini adalah, tanpa keraguan, hasil dari usaha dan kerja keras, dan semua orang yang terlibat boleh berbangga dengan pencapaian yang hebat ini.”

“Bagi pihak komuniti bola sepak antarabangsa, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan persatuan anda atas bantuan menyebarkan mesej positif bola sepak serta memupuk amalan sukan indah ini yang menyatukan kita semua.”

JDT sah muncul juara Liga Super Malaysia 2019 setelah menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat pada 26 Jun lalu.


Kemenangan itu membolehkan JDT tidak perlu menunggu baki saingan liga untuk dinobatkan juara buat kali keenam berturut-turut berikutan mana-mana lawan terutama Pahang tidak mampu mencabar walaupun menang semua baki perlawanan.

Satu sambutan besar-besaran turut akan diadakan pada 19 September akan datang untuk meraikan kejuaraan Liga Super, dimana JDT akan berhadapan dengan Terengganu FC – perlawanan terakhir yang akan diadakan di Larkin sebelum kelab tersebut berpindah ke arena baharu, Stadium Sultan Ibrahim pada musim hadapan.