Selepas kejayaan pengajuran liga akar umbi kategori bawah 12 pada awal tahun ini, Footykids League gembira dengan sambutan menggalakkan yang diterima susulan perluasan operasi liga mereka kepada kategori bawah 8 dan bawah 10 pula.
Footykids League kategori bawah 8 dan bawah 10 yang bakal bermula pada 29 Jun hingga 3 Ogos 2019 nanti menerima banyak penyertaan dari akademi-akademi akar umbi sekitar Lembah Klang.
Untuk kategori bawah 8 tahun, sebanyak 8 pasukan bakal berentap merebut kejuaraan. Bagi kategori bawah 10 tahun pula, sebanyak 12 pasukan sudah mengesahkan penyertaan. Mereka akan dibahagikan kepada 2 kumpulan yang masing-masing mengandungi 6 pasukan untuk merebut takhta juara.
Kesemua perlawanan akan diadakan di Rhino Arena Kelab Sultan Sulaiman.
Menurut Ketua Komersial dan Penajaan Footykids League, Sofwan Zolkefli, sambutan menggalakkan yang diterima ini ada kena-mengena dengan format pertandingan mereka yang berbentuk liga. “Berbanding kejohanan akar umbi yang bersifat karnival satu hari, kami menganjurkan kejohanan berbentuk liga untuk menggalakkan perkembangan pemain dalam jangka masa panjang,” katanya.
“Kalau format karnival satu hari dibuat, pemain akan ‘dilanyak’ dalam satu hari. Yang sedihnya, pada minggu-minggu akan datang, intensiti sama tak dapat dikekalkan. Ini menyebabkan perkembangan pemain terbantut,” jelas Sofwan lagi.
“Selain itu, pemandangan Rhino Arena Kelab Sultan Sulaiman yang berlatarbelakangkan Menara Kuala Lumpur juga menarik minat ibu-bapa untuk bersetuju dengan cadangan jurulatih anak mereka untuk menyertai Footykids League.”
Sofwan turut berbangga dengan pencapaian organisasinya dalam masa singkat. Kurang setahun liga mereka beroperasi, Footykids League sudah pun mendapat tajaan dari AZMI139 Management.
“Terima kasih kepada Encik Azmi dari AZMI139 Management atas kepercayaan beliau kepada kami,” kata Sofwan selepas majlis cabutan undi Footykids League yang diadakan di Dewan Seminar Kelab Sultan Sulaiman malam semalam.