Peminat bola sepak tempatan bakal menyaksikan pengenalan sebuah lagi pertandingan piala domestik baru bermula musim 2018 yang bakal disertai oleh pasukan-pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam selepas tamatnya Taklimat Liga Malaysia 2018 di Acapella Suite Hotel, Shah Alam petang tadi.
Menurut Kevin, pertandingan piala baru itu yang dicadangkan namanya sebagai ‘Piala Cabaran’ itu diwujudkan untuk mengisi beberapa kekosongan dalam kalendar bola sepak tempatan. Ini berikutan keputusan FMLLP untuk kembali mengasingkan saingan Piala Malaysia daripada Liga Super/100PLUS Liga Premier.
Sebelum ini selama dua musim (2016 dan 2017), FMLLP bertindak menganjak tarikh saingan Liga Super dan 100PLUS Liga Premier sehingga bulan Oktober untuk memastikan pasukan yang tidak layak/tersingkir awal daripada Piala Malaysia masih mempunyai perlawanan kompetitif sehingga hujung tahun.
Pada April 2016, Kevin pernah menjelaskan hasrat FMLLP untuk memperbanyakkan jumlah perlawanan kompetitif bagi pasukan-pasukan Liga Malaysia.
“Jumlah maksimum perlawanan domestik seorang pemain Liga Super boleh main ketika ini adalah 39 perlawanan semusim. Itupun kalau pasukannya masuk final Piala FA dan Piala Malaysia.”
“Pemain Pulau Pinang FA pula akan main 23 perlawanan kompetitif sahaja jika pasukan mereka tidak layak TM Piala Malaysia dan tersingkir pusingan pertama Piala FA. Ini situasi yang tidak bagus untuk mereka.”
Dipetik berkata kepada Berita Harian, Kevin turut menambah, “Selepas meneliti dua musim sebelum ini di mana format baharu Piala Malaysia digunakan, kami mendapati ada kekosongan yang mana 3 perlawanan terakhir memiliki jarak yang begitu jauh antara satu perlawanan ke perlawanan.”
“Oleh itu, kami melihat perlu adanya penambahbaikan. Jadi kami kembalikan format Piala Malaysia seperti asal dan memperkenalkan saingan baharu untuk 8 pasukan yang tidak layak bagi memastikan supaya kekal beraksi sepanjang musim.”
“Jadi, kami cuba untuk mencapai sekurang-kurangnya lebih 30 perlawanan bagi setiap pasukan dalam semusim. Walaupun saingan liga sudah berakhir dan ada pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia, mereka masih boleh mendapatkan aksi kompetitif kerana saingan ini berjalan serentak dengan Piala Malaysia,” katanya kepada Berita Harian.
Bagaimanapun Kevin mengaku FMLLP masih belum memperhalusi mekanisme pertandingan piala baru ini. “Mungkin pasukan yang tersingkir awal daripada Piala Malaysia juga akan masuk dalam kejohanan baru ini,” katanya.
Mekanisme kelayakan Piala Malaysia pula akan terus dikekalkan di mana 11 pasukan teratas dalam Liga Super dan 5 pasukan teratas dalam 100PLUS Liga Premier akan layak ke kejohanan bola sepak tertua di Asia itu.
Potensi masalah daripada perlaksanaan Piala Cabaran
Semuanya BOLA menyambut baik cadangan FMLLP memperkenalkan pertandingan piala baru ini untuk memastikan pemain-pemain pasukan yang tak layak ke Piala Malaysia menikmati sekurang-kurangnya 30 perlawanan kompetitif semusim.
Bagaimanapun kami mengenalpasti satu masalah.
Sebagai peinat bola sepak tempatan, sudah pastilah kita mahu melihat prestij Piala Malaysia melebihi prestij Piala Cabaran (atau apa-apa nama yang bakal dicadangkan oleh penaja nanti).
Katakanlah perlawanan akhir Piala Cabaran akan menemukan Kelantan vs Terengganu (contoh sahaja). Manakala perlawanan akhir Piala Malaysia akan menemukan JDT vs PKNS (contoh sahaja).
Sudah pastilah perlawanan akhir Piala Cabaran akan menarik lebih ramai penonton ke stadium berbanding perlawanan akhir Piala Malaysia!
Kami berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut apakah mekanisme yang akan diambil oleh FMLLP untuk memastikan prestij Piala Malaysia sendiri tidak dibayangi oleh reputasi finalis Piala Cabaran.
Apapun kami menyambut baik hasrat niat asas FMLLP mewujudkan pertandingan piala baru ini iaitu untuk menambah jumlah perlawanan kompetitif dalam kalendar bola sepak tempatan kita. Sudah tiba masanya pemain-pemain liga kita diberikan jumlah perlawanan kompetitif yang setanding dengan liga-liga di luar negara.