FMLLP Beri Sebab Kenapa Jadual Padat, Kenapa Kurangkan Perlawanan Bukan Penyelesaiannya

“Maafkan saya. Saya tak boleh kurangkan jumlah perlawanan. Ianya mustahil.”

Itulah kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalinggam ketika sesi taklimat penjelasan isu kepadatan jadual liga kepada warga media sukan di Wisma FAM semalam.

Sesi taklimat yang berlangsung selama 2 jam itu dibuat berikutan kenyataan yang dikeluarkan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar, ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov dan terbaru ketua jurulatih Perak, Karl Weigang.

Susunan jadual liga sudah dipersetujui pasukan pada awal musim

Sebelum sesi taklimat dimulakan, setiap wakil media yang hadir diberikan 2 helai salinan jadual dalam kertas bersaiz A3.

Helaian pertama mengandungi susunan jadual liga mengikut format tahun ini – di mana kempen Piala Malaysia dijalankan ketika kempen Liga Super belum habis.

Helaian kedua pula mengandungi susunan jadual liga mengikut format tahun lepas – di mana kempen Piala Malaysia dijalankan ketika kempen Liga Super sudah habis.

Meskipun berbeza, kedua-dua helaian susunan jadual liga ini mempunyai persamaan ketara; iaitu jadual bulan Julai dan Ogos yang sangat padat.

Jadual liga pada bulan Julai dan Ogos jika Piala Malaysia dan liga dilaksanakan serentak.
Jadual liga pada bulan Julai dan Ogos jika Piala Malaysia dilaksanakan selepas liga habis.

Belum pun taklimat bermula, hujah sesetengah peminat bola sepak tempatan yang mahukan kempen Liga Super dihabiskan dulu sebelum memulakan kempen Piala Malaysia untuk mengurangkan kepadatan jadual liga telah dipatahkan.

Dan menurut Kevin, susunan jadual liga ini telah dipersetujui oleh semua pasukan Liga Super dan Perdana ketika dibentangkan oleh FMLLP sebelum bermulanya musim bola sepak 2016 pada 7 Januari 2016 di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam.

Kami tertanya-tanya; jika pasukan mengeluh mengenai kepadatan jadual liga sekarang, mengapa mereka tidak timbulkan isu ini ketika sesi pembentangan kalendar bola sepak pada 7 Januari 2016 dulu?

Apakah pegawai pasukan yang dihantar menjadi wakil ketika itu tidak mengambil perhatian ketika taklimat dibuat?

Maka tak hairanlah isu ini hanya ditimbulkan oleh ketua jurulatih yang masuk tengah musim seperti Popov dan Weigang.

Jika mereka sendiri menghadiri taklimat 7 Januari 2016 tersebut, sudah pastilah mereka akan ‘naik angin’ melihat kepadatan jadual pada bulan Julai dan Ogos.

Jika jadual padat, kenapa tak kurangkan jumlah perlawanan?

Satu lagi hujah popular peminat bola sepak tempatan untuk menyelesaikan isu kepadatan jadual liga adalah mengurangkan jumlah perlawanan.

Mansuhkan Piala FA atau Piala Malaysia, kata mereka.

Easier said than done, bak kata orang putih. Kevin menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab FMLLP juga untuk menaikkan mutu bola sepak kebangsaan melalui penjadualan liga.

“Jumlah maksimum perlawanan domestik seorang pemain Liga Super boleh main ketika ini adalah 39 perlawanan semusim. Itupun kalau pasukannya masuk final Piala FA dan Piala Malaysia.”

“Pemain Pulau Pinang FA yang pasukan mereka tak layak Piala Malaysia dan tersingkir pusingan pertama Piala FA hanya akan main 23 perlawanan kompetitif sahaja musim ini.”

“Bayangkan berapa perlawanan kompetitif yang pemain kita akan main semusim kalau kita mansuhkan Piala Malaysia.”

Inilah yang diperjuangkan FMLLP untuk meningkatkan kualiti bola sepak kebangsaan – iaitu dengan memperbanyakkan perlawanan kompetitif.

“Sepatutnya kita bukan kena kurangkan perlawanan. Kita kena banyakkan lagi perlawanan,” terang Kevin lagi.

Cabaran FMLLP susun jadual

Ketika merancang kalendar bola sepak Malaysia, FMLLP juga mengalami beberapa cabaran. Sebelum musim bermula lagi, mereka sudah hilang sekurang-kurangnya 4 bulan daripada perkara di luar kawalan mereka seperti:

  • Perantaraan antara musim lama dengan baru beserta persiapan pra-musim seperti diminta pasukan (8-10 minggu)
  • Rehat bulan Ramadhan dan cuti Aidilfitri (6 minggu)
  • Tugasan skuad kebangsaan (6-8 minggu)

Secara idealnya, FMLLP mahukan musim bola sepak bermula pada pertengahan Januari dan berakhir pada bulan Oktober.

Tetapi pada musim ini, FMLLP terpaksa memulakan kalendar musim 2016 bermula pada awal Februari kerana kempen Piala Malaysia 2015 yang berlanjutan sehingga bulan Disember.

Dengan musim bola sepak 2016 yang bakal berakhir pada 5 November 2016 nanti (final Piala Malaysia 2016), kita bakal menyaksikan musim 2017 bermula pada pertengahan Januari akan datang datang.

Jadual liga pada musim 2017 juga dijangka akan lebih ‘mesra pasukan’ kerana liga kita akan bermula awal.

Kenapa Piala Malaysia mesti dimainkan ketika liga sedang berlangsung?

Seperti yang kami beritahu sebelum ini, apabila kempen Piala Malaysia bermula selepas tamatnya kempen liga, jadual liga kita masih tetap padat.

Ini kerana jumlah perlawanan domestik (liga, Piala FA dan Piala Malaysia) masih tidak berubah sejak 2009.

Tetapi FMLLP masih mahu memulakan kempen Piala Malaysia ketika liga masih berlangsung kerana dengan cara inilah pemain-pemain dari pasukan yang tak layak Piala Malaysia dapat bermain dari awal tahun hingga hujung tahun.

Jika kempen Piala Malaysia hanya bermula selepas kempen liga habis, pemain-pemain dari pasukan yang tak layak Piala Malaysia (Pulau Pinang contohnya) akan ‘melopong’ sebaik kempen liga tamat pada bulan pertengahan Ogos.

Kebanyakan kontrak pemain import pula tamat pada akhir bulan Oktober.

Ini bermakna Pulau Pinang terpaksa membayar 2 bulan gaji pemain-pemain importnya tanpa dapat melihat mereka beraksi kerana liga habis awal!

Pemain-pemain tempatan Pulau Pinang pula akan bercuti tanpa melalui latihan berintensiti tinggi selama 5 bulan (Ogos 2016-Januari 2017) kerana liga habis awal!

“Macam mana pemain nak kekalkan prestasi kalau bercuti sampai 5 bulan?” ujar Kevin secara retorikal (soalan yang semua orang tahu jawapannya).

Kenapa jadual liga kita tidak ikut format liga Eropah?

Seperti yang anda tahu, liga-liga utama di Eropah memulakan liga pada pertengahan tahun (Ogos 2016 contohnya) dan berakhir pada pertengahan tahun berikutnya (Mei 2017 contohnya).

Kevin menjelaskan realiti yang berlaku di Malaysia tak membenarkan bola sepak Malaysia untuk mengikut cara Eropah mengurus liga mereka.

“Kita tak boleh buat liga pada bulan November dan Disember kerana ketika inilah angin monsun Timur Laut bertiup di kawasan Pantai Timur.”

“Macam mana nak main kalau stadium banjir? Macam mana penyokong Kelantan, Terengganu dan Pahang nak pergi stadium kalau rumah mereka banjir?”

Ini hanya akan membuatkan perlawanan liga lebih banyak tertangguh.

Selain itu di Eropah, liga mereka berehat pada bulan Mei, Jun dan Julai (musim panas di Eropah) kerana ketika inilah kebanyakan pertandingan bola sepak seperti Piala Dunia dan Piala Eropah berlangsung.

Selain itu di Asia Tenggara, pada bulan November dan Disember inilah pasukan negara akan terlibat dengan kejohanan antarabangsa seperti Piala AFF Suzuki.

Jadual padat paksa pasukan gunakan pemain muda

Jadual padat adalah lumrah bola sepak moden.

Seperti Popov dan Weigang, pengurus-pengurus pasukan di Eropah juga banyak merungut mengenai isu ini.

Satu-satunya cara untuk mengatasi isu ini sebaiknya adalah dengan menggilir-gilirkan pemain dan menggunakan pemain-pemain muda dalam perlawanan yang rendah keutamaannya (low priority games) kepada pasukan.

Menurut FMLLP, setakat perlawanan ke-18 dalam Liga Super 2015, seramai 326 pemain telah pun dipakai oleh semua pasukan. 31 daripadanya adalah pemain muda berusia 21 tahun ke bawah.

Tetapi setakat tahun ini di perlawanan ke-16, hanya 303 pemain telah digunakan dengan hanya 18 daripadanya merupakan pemain bawah 21 tahun; 10% lebih kurang berbanding musim 2015.

Ini sahaja sudah menunjukkan trend penggiliran pemain yang semakin menurun daripada pasukan kita.

Hanya JDT, Pahang dan Perak yang menggunakan lebih 75% pemain mereka pada musim ini.

Kredit foto: Asiana.my

Selebihnya masih berharap kepada kelompok kesebelasan utama mereka pada setiap perlawanan.

Untuk menggalakkan pasukan mengamalkan polisi penggiliran pemain dan menggunakan pemain muda pada musim 2016, FMLLP telah:

  • membenarkan setiap pasukan untuk mendaftar 30 orang pemain semasa pendaftaran pemain.
  • menggalakkan penggunaan pemain muda bawah 21 tahun dengan tidak meletakkan sebarang had pendaftaran pemain bawah 21 tahun (sebelum ini ada had 6 pemain).

Dengan penambahan slot pemain kepada 30 orang, FMLLP menyasarkan kelompok pemain aktif akan menjadi sebesar 800-1000 pemain berbanding 600+ pemain ketika ini.

Ini akan memberi lebih banyak pilihan untuk jurulatih kebangsaan memilih pemain kerana ‘national pool’ menjadi lebih luas.

Perlukah Piala Malaysia diubah formatnya untuk ke kejohanan Asia?

Jawapannya tidak.

Kevin menegaskan AFC hanya memberi 2 slot kelayakan ke kejohanan peringkat Asia kepada pasukan dari Malaysia, iaitu juara Liga Super dan juara Piala FA – yang merupakan slot ‘tetap’ dan tidak boleh diubah.

Untuk mendapatkan slot tambahan:

  • pasukan dari Malaysia yang beraksi di kejohanan Asia mestilah beraksi dengan baik.
  • ranking skuad kebangsaan juga perlu diperbaiki.

Sekiranya kita berjaya melakukan 2 perkara ini, Malaysia akan mendapat slot tambahan.

Dan slot tambahan itu boleh diberikan kepada juara Piala Malaysia tanpa perlu menukar format sedia ada.

Kesimpulan

Tak dinafikan masih banyak yang FMLLP boleh perbaiki dalam aspek penyusunan jadual liga.

Tetapi untuk memastikan mereka dapat berfungsi dengan baik, sokongan daripada pelbagai pihak – dari FAM, pasukan dan peminat bola sepak tempatan – mestilah diberikan.

FAM contohnya, perlu memberi sokongan kepada FMLLP dengan memendekkan tempoh persiapan pasukan kebangsaan.

Ketika pasukan kebangsaan di Eropah dan Asia yang lain hanga memerlukan maksimum 3 hari sebagai persiapan 1 perlawanan antarabangsa, mengapa FAM memerlukan 7 hari?

Pasukan pula perlulah mula meaksanakan apa yang pasukan Eropah lakukan iaitu mengggilir-gilirkan pemain.

Jika pemain simpanan dan pemain muda mereka tak cukup bagus, adakah ini salah pengelola liga?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN