Dua pasukan terakhir yang akan beraksi pada perlawanan akhir Superbest Power Piala FA 2016 sudah pun terjawab malam 30 April 2016 lepas.
Johor Darul Ta’zim (JDT) menempah tiket ke final setelah menewaskan Kedah dengan agregat 4-3.
Manakala pasukan berstatus kelab dari Lembah Klang, PKNS FC menewaskan Perak di Ipoh – juga dengan agregat 4-3.
JDT pilihan?
Perlawanan akhir yang dijadualkan pada 14 Mei ini akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam.
Walaupun dari sokongan penyokong pastinya memihak kepada JDT, namun aksi 90 minit di atas padang sebenarnya yang akan menentukan siapa berhak menjulang Piala FA bagi edisi ke 26 ini.
Apa yang menarik tentang final tahun ini adalah kedua-dua pasukan sedang memburu trofi Piala FA pertama dalam sejarah mereka. JDT layak ke pentas akhir Piala FA buat kali kedua.
Dan bagi PKNS pula, final ini adalah pencapaian paling tinggi yang pernah dicapai mereka dalam kejohanan Piala FA.
Untuk pengetahuan umum, inilah final pertama Piala FA sejak mula dipertandingkan pada 1990 yang menemukan ‘dua pasukan berstatus kelab’.
Mario Gomez vs E. Elavarasan
Kebijaksanaan jurulatih JDT, Mario Gomez merencana taktikal pastinya ditagih oleh para penyokong Harimau Selatan.
Pasukan bimbingannya hanya sekali tewas musim ini dalam tiga saingan berbeza yang diwakili mereka iaitu – tewas 2-1 di Stadium Darul Aman pada aksi separuh akhir pertama 15 April lalu.
Bagi pengendali PKNS FC, E.Elavarasan, kesepaduan anak-anak buahnya semasa bermain terutamanya gandingan trio import mereka pasti menjadi harapan buat The Red Ants untuk meraih trofi.
Gabriel Guerra, Juan Cobelli dan Mathias Hadwa (gambar bawah) boleh dikatakan penyebab mereka mampu mara ke perlawanan akhir sambil dibantu oleh kecekapan G. Jevanathan selaku benteng terakhir pasukan milik syarikat korporat ini.
Penyokong kedua-dua pasukan dan pemerhati bola sepak tempatan pasti mahu melihat aksi final menarik yang akan dipamerkan oleh finalis tahun ini.
Jika tahun lalu Lions XII muncul juara buat kali pertama, adakah JDT ataupun PKNS akan mencatat gelaran pertama mereka sebagai Juara Superbest Power Piala FA 2016?
Malam 14 Mei inilah yang akan menentukan siapa yang berhak untuk menggondol piala tersebut.
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Ahas Haikal. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga: Senarai Penaja 12 Pasukan Liga Super 2016 Dan Motif Tajaan Mereka