Quantcast

KAJIAN & FAKTA LIGA MALAYSIA

Senarai Penaja 12 Pasukan Liga Super 2016 Dan Motif Tajaan Mereka

Dalam bola sepak, pasukan bola sepak memerlukan penaja sebagaimana penaja memerlukan pasukan bola sepak.

Dalam artikel kali ini, kami menyenaraikan penaja-penaja 12 pasukan Liga Super untuk menjelaskan kepada anda:

Mengapa persatuan bola sepak kita masih dinaungi oleh ahli politik?

1. Felda United

Penaja: FELDA, FBT Sports (penaja jersi)

Sumber: Facebook FELDA UNITED FC

Sumber: Facebook FELDA UNITED FC

Seperti Bayer Leverkusen yang ditaja oleh syarikat farmaseutikal, Bayer dan Wolfsburg yang ditaja oleh syarikat pembuat kereta, Volkswagen, Felda United ditaja oleh siapa lagi kalau bukan – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Bermula sebagai agensi kerajaan yang membantu rakyat menjadi peneroka tanah, FELDA kini berevolusi sebagai sebuah entiti korporat yang membuat pelaburan dalam sektor pertanian, pengangkutan, hospitaliti, perlombongan dan kewangan.

Melalui Felda United, Felda mampu mempromosikan:

  • bisnes makanan mereka seperti Felda D’Saji, Sawari dan Savaro,
  • bisnes hospitaliti mereka seperti Felda Travel dan Astute Experience,
  • bisnes perniagaan runcit D’Mart dan PUMA
  • bisnes kesihatan rakan niaga mereka, KPJ Healthcare

2. Johor Darul Takzim (JDT)

Penaja: Forest City, Iskandar Waterfront, JCorp, Vantage Bay, Berjaya Group, Adidas (penaja jersi)

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Sumber: Facebook Johor Southern Tigers

Boleh dikatakan hampir semua penaja JDT mempunyai portfolio mengagumkan dalam bisnes hartanah di Malaysia.

Forest City adalah projek bersama China dan kerajaan Johor untuk membangunkan sebuah smart city di Wilayah Iskandar Malaysia. Turut mempunyai pelaburan di Wilayah Iskandar adalah penaja lain iaitu, Iskandar Waterfront, JCorp, Vantage Bay dan Berjaya Group.

Sebagai sebuah pasukan yang kaya dan diurus dengan baik, JDT boleh memilih deretan penaja-penaja yang beratur untuk menaja mereka.

Tetapi hanya syarikat-syarikat di atas dipilih kerana menurut Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim:

“Kami mahukan kerjasama jangka panjang daripada penaja. Mereka perlu menjadi penjana ekonomi di Johor.”

3. Selangor

Penaja: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB), Menteri Besar Incorporated (MBI), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS), Central Spectrum (M) Sdn Bhd, Lotto (penaja jersi)

Sumber: Facebook FA Selangor

Sumber: Facebook FA Selangor

Laman web Selangor FA mungkin menyenaraikan sehingga 6 entiti berbeza sebagai penaja mereka. Namun hakikatnya keenam-enam entiti ini sebenarnya boleh digolongkan dalam satu entiti sahaja iaitu – kerajaan negeri Selangor.

Sebagai entiti kerajaan negeri, keenam-enam syarikat ini tidak perlu membuat kempen pemasaran dalam bola sepak pun untuk survive.

Maka tak hairanlah tiada satu nama penaja pun tertera di jersi Selangor. Hanya tertera nama ‘Selangor’.

4. T-Team FC & Terengganu FA

Penaja: Terengganu Inc., Kobert (penaja jersi)

Disebabkan T-Team dan Terengganu tidak mempunyai laman web rasmi yang berfungsi, kami menganggap Terengganu Inc. adalah satu-satunya penaja mereka.

Berdasarkan hasil bacaan kami di laman web penaja mereka, Terengganu Inc. adalah sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu.

Sekali lagi kami tekankan, sebagai sebuah entiti kerajaan negeri, Terengganu Inc. tidak perlu membuat kempen pemasaran dalam bola sepak pun untuk survive.

Edit 1: Penaja lain bagi Terengganu FA adalah SP Bumi Sdn Bhd (penaja pengangkutan), EXA Creative & Adeq Sue Sdn Bhd (syarikat milik Hairuddin Omar).

Edit 2: Penaja lain bagi T-Team FC adalah Adeq Sue Sdn Bhd, Manis FM dan CV Sports.

5. PDRM FA

Penaja: Puncak Niaga, Syarikat Mutiara Sendirian Berhad (penaja pengangkutan), Line 7 (penaja jersi)

Sumber: Facebook PDRM FA

Sumber: Facebook PDRM FA

Puncak Niaga adalah sebuah syarikat pembekal kemudahan pembekalan air, rawatan sisa air dan perlombongan minyak dan gas (O&G).

Bagi sebuah pasukan yang gagal mengemaskini laman web rasmi sejak 2015 sehingga kini (ketika artikel ini ditulis) untuk mendapat tajaan Puncak Niaga – sebuah syarikat mega-korporat, kami pasti 100% tajaan ini bukan atas sebab komersial.

Portfolio perniagaan Puncak Niaga juga mencadangkan tiada sebab mengapa mereka perlu membuat pemasaran dalam bola sepak.

6. Kedah FA

Penaja: Discover Kedah 2016, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Legacy Hijau Kuning, Cola Kedah, D’Herbs, AOR Pantalonstyle, New Emerald Travel & Tours Sdn. Bhd, Cosmic Express (penaja pengangkutan), Warrix (penaja jersi)

Sumber: Facebook Kedah FA - Persatuan Bolasepak Kedah

Sumber: Facebook Kedah FA – Persatuan Bolasepak Kedah

Kedah antara pasukan yang mempunyai diversiti penaja yang baik, dari agensi kerajaan sehinggalah kepada syarikat swasta. Inilah adalah testimoni pengurusan yang baik daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Dengan populariti pasukan yang tidak pernah surut, ditambah pula dengan media sosial mereka yang sentiasa aktif mendekati penyokong, tak hairanlah penaja gemar menaja Kedah.

Malah laman web mereka juga aktif dan memberi publisiti yang baik kepada penaja.

Walaupun hanya menduduki tangga ke-5 dalam senarai laman web Liga Super terbaik, kami memuji bagaimana Kedah menjaga keperluan penaja dengan komen berikut:

“Jika kami merupakan penaja Kedah, kami akan menyukai bahagian (laman web) ini.”

7. Kelantan FA

Penaja: Vida Beauty Sdn. Bhd, Cengal Jati, Sinar Harian, UniKL, RedONE, PMB Investment Berhad, AzhamZamiri.com, Konsortium Mutiara, Delima Perdana Sdn. Bhd, Puspamara Sdn. Bhd.

Sumber: Facebook TRWFC

Sumber: Facebook TRWFC

Seperti Kedah, Kelantan juga tak pernah surut sokongan penyokongnya.

Walaupun pihak pengurusan perlu memperbaiki lagi laman web rasmi pasukan untuk menjaga keperluan penaja, penaja masih tertarik untuk menaja mereka. Semuanya dek kerana kefanatikan penyokong Kelantan sendiri.

Menyedari pasukan bola sepak Kelantan mempunyai kumpulan penyokong yang sangat fanatik, pemilik Vida Beauty menyedari RM8 juta setahun yang dilaburkannya jauh lebih berbaloi sebenarnya berbanding RM3 juta yang dibayarnya untuk tajaan satu malam konsert final Gegar Vaganza 2.

8. Perak FA

Penaja: Lembaga Air Perak, Perak Corp, AL Active Lifestyle (penaja jersi)

Sumber: Facebook Perak The Bos Gaurus

Sumber: Facebook Perak The Bos Gaurus

Dengan dua penaja mereka merupakan entiti kerajaan negeri, sekali lagi kami faham mengapa pihak pengurusan Perak merasakan tiada keperluan untuk mempromosikan penaja mereka di laman web rasmi pasukan.

Tanpa menaja pasukan Perak pun, kami pasti rakyat Perak tidak pernah lupa membayar bil air mereka kepada Lembaga Air Perak.

10. Pahang FC

Penaja: Aras Kuasa, Puma (penaja jersi)

Sumber: Facebook Pahang FC

Sumber: Facebook Pahang FC

Aras Kuasa mungkin bukan syarikat milik kerajaan negeri Pahang. Tetapi kaitannya dengan beberapa projek perlombongan besar di Pahang mungkin menjelaskan sebab mengapa mereka menaja pasukan bola sepak Pahang.

Edit: Penaja lain bagi Pahang FC adalah Pahang Resort World, Allianz dan Liberty Insurance.

11. Pulau Pinang FA

Penaja: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA), AG Aspen Group, Umbro (penaja jersi)

Sumber: FA Penang

Sumber: FA Penang

Seperti Perak, Pulau Pinang juga ditaja oleh syarikat pembekal air negeri walaupun kami sangat meragui faedah komersial penajaan tersebut dari pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA).

AG Aspen Group pula dalah sebuah syarikat hartanah yang mempunyai beberapa projek berskala besar di Pulau Pinang.

Dari segi komersial, kami melihat mungkin AG Aspen Group hanya mahu melakukan kerja branding dan mahu orang Pulau Pinang kenal syarikat mereka.

12. Sarawak FA

Penaja: Marina Park City, Naim Holdings Berhad, Shin Yang Sdn. Bhd, Titanium Team, ACFM, Hock Seng Lee Berhad, Ibraco, PCS, Sacofa Sdn. Bhd, Ta Ann Holdings Bhd, Lea Group (penaja jersi)

13055261_612397062256930_4927634009549328068_o (1)

Sumber: Facebook johor Southern Tigers

Seperti syarikat-syarikat hartanah yang menaja JDT, kebanyakan penaja Sarawak merupakan syarikat hartanah yang mempunyai beberapa projek di Sarawak seperti Marina ParkCity di Miri.

Logo penaja yang terlalu kecil di laman web rasmi Sarawak juga mencadangkan penajaan ini dibuat bukan atas sebab komersial.

Jika penaja Sarawak menaja atas sebab komersial seperti tajaan syarikat hartanah AG Aspen Group di Pulau Pinang, mereka pasti tidak gembira dengan cara pihak pengurusan Sarawak mengurus media sosial dan laman web rasmi pasukan.

Kesimpulan

Jika kita lihat senarai penaja-penaja pasukan Liga Super 2016, kita akan segera tahu kebanyakan tajaan bukan dibuat atas sebab komersial.

Jika ia dibuat atas sebab komersial seperti yang biasa dilakukan di Eropah dan Jepun, kita tidak akan melihat nama syarikat perlombongan dan entiti kerajaan negeri di jersi pasukan.

Sebaliknya kita akan melihat nama syarikat swasta yang betul-betul mempunyai produk dan servis yang ditujukan khas untuk peminat bola sepak seperti Toyota, Yamaha, Ramly Group dan sebagainya.

Disebabkan kegagalan pengurusan pasukan mendekati penyokong dan melakukan kerja marketing-lah, yang menyebabkan pasukan bola sepak kita memerlukan naungan dan pengaruh ahli politik yang tak minat bola sepak pun untuk mencari penaja.

Politik dan bola sepak adalah ibarat air dan minyak. Ia tidak boleh bercampur!

Baca juga: Bekas Chief Marketing Officer JDT Beritahu 5 Kesalahan Pemasaran Pasukan Bola Sepak Malaysia

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!