Setelah 5 tahun berkerjasama, FIFA dan majalah France Football telah mengumumkan perpisahan mereka sebagai penganjur anugerah Ballon d’Or.
Anugerah Ballon d’Or yang diadakan sejak 1956 dianjurkan secara sendirian oleh France Football sebelum FIFA menjadi penganjur bersama pada 2010.
Namun untuk edisi 2016, FIFA menarik diri daripada menjadi penganjur bersama untuk anugerah tersebut.
Perkenal Best Football Awards
Sebagai langkah alternatif kepada Ballon d’Or, FIFA memperkenalkan anugerah Best Football Awards.
Sebelum mereka bersama France Football menganjurkan Ballon d’Or, FIFA mempunyai anugerah sendiri dipanggil FIFA World Player of The Year.
Best Football Awards bukan sahaja anugerah yang tertumpu kepada acara bola sepak lelaki sahaja. Bahkan melibatkan semua pihak yang terlibat dalam bola sepak.
Anugerah-anugerah yang disediakan adalah:
- Anugerah Pemain Terbaik Wanita FIFA 2016
- Anugerah Pemain Terbaik Lelaki FIFA 2016
- Anugerah Jurulatih Terbaik Lelaki FIFA 2016
- Anugerah Jurulatih Terbaik Wanita FIFA 2016
- Anugerah Puskas FIFA 2016 (Gol terbaik tahunan)
- Anugerah Fair Play FIFA 2016
- Anugerah FIFA oleh peminat 2016
- Kesebelasan Terbaik Tahunan FIFPro
Keputusan-keputusan bagi semua anugerah yang dicalonkan akan diumumkan dalam satu majlis berprestij di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017.
Peminat boleh undi
Salah satu pembaharuan yang dibawa oleh FIFA untuk anugerah Best Football Awards ini adalah para peminat bola sepak diseluruh dunia boleh mengundi bagi menentukan pemenang bagi 4 anugerah yang dipertandingkan.
Anugerah tersebut adalah anugerah pemain terbaik lelaki dan wanita serta anugerah jurulatih terbaik lelaki dan wanita.
Proses undian bagi anugerah-anugerah tersebut akan dijalan secara 2 proses.
Proses pertama adalah undian akan diperoleh hasil undian daripada ketua jurulatih dan ketua pasukan setiap pasukan kebangsaan di seluruh dunia. Hasil daripada undian mereka akan menyumbang kepada 50% undi.
Wakil Malaysia akan diwakili oleh ketua jurulatih Ong Kim Swee dan ketua pasukan Amri Yahyah.
Baki 50% undi lagi akan ditentukan menerusi undian awam secara atas talian (online) dan undian daripada 200 wakil media dari seluruh dunia.
Undian awam dan undian daripada wakil media masing-masing mewakili 25% undi.
Senarai 23 calon untuk anugerah pemain terbaik kategori lelaki akan diumumkan Jumaat ini (4 November 2016).
Manakala senarai akhir 3 pemain pula akan diumumkan pada 2 Disember 2016.
Baca juga: 5 Pemain Menyerlah Yang Gagal Memasuki Senarai Akhir Ballon d’Or 2016