FAM Tunggu Bukti 3 Pasukan Selesaikan Tunggakan Gaji

Stuart Ramalingam MFL

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, menegaskan bahawa beliau tidak mahu terpengaruh dengan kenyataan janji dan tindakan awal pasukan yang terlibat dengan isu tunggakan gaji.

Sebaliknya beliau mahukan bukti secara dokumentasi untuk membuktikan perkara itu. Ini bukti FAM sangat tegas dalam isu tunggakan gaji pada kali ini.

3 pasukan sudah diberikan amaran sebelum ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pasukan mereka.

Melaka sudah mengumumkan mereka menyelesaikan sebahagian besar daripada tunggakan gaji.

Ini melibatkan beberapa pemain pasukan Melaka pada musim lalu. Namun Melaka United masih lagi dalam proses menyelesaikan tunggakan gaji pemain import dan pegawai pasukan mereka.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan PDRM pula, telah berjanji akan menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka pada hujung bulan ini. Ataupun sebelum bermulanya musim baharu Liga Malaysia.

Bercakap kepada Stadium Astro, Stuart berkata: “Ketiga-tiga pasukan memang sudah ada tindakan untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Secara tidak rasmi, kami telah menerima laporan daripada tindakan tersebut.”

“Tetapi saya akan menunggu bukti-bukti pembayaran dan perbincangan yang lebih formal untuk memastikan saya mengeluarkan komen yang lebih teliti dan tepat.”

“Dengan ini, saya bersyukur setiap pasukan ada pergerakan positif dan menunggu bukti bayaran atau perbincangan persefahaman di antara pemain dan pasukan,” tambah beliau.

Masalah tunggakan gaji ibarat masalah tidak berpenghujung melanda Liga Malaysia.

Oleh yang demikian MFL dan FAM memperkenalkan ECP bagi memastikan setiap pasukan berbelanja atas kemampuan masing-masing.

Leave a Reply