Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah pun menyatakan kemungkinan bahawa perlawanan bagi kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada penghujung tahun ini tidak akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Mengikut jadual rasmi kejohanan, skuad kebangsaan Malaysia akan beraksi dua perlawanan peringkat kumpulan di tempat sendiri iaitu menentang Laos pada 24 Disember 2022 dan Singapura pada 3 Januari 2023.
Aksi menentang Myanmar (21 Disember 2022) dan Vietnam (27 Disember 2022) pula akan berlangsung di tempat lawan.
Mengikut tradisi, SNBJ akan dipilih sebagai gelanggang rasmi untuk skuad Harimau Malaya ‘bertempur’, tetapi badan induk bola sepak negara itu tampil dengan pendekatan berbeza untuk edisi pada tahun ini.
Ia juga adalah disebabkan penggunaan SNBJ yang terlalu padat selain turut menerima tempahan daripada pihak tertentu pada hujung tahun.
Semuanya BOLA sebelum ini juga pernah menerbitkan satu artikel tentang bagaimana Malaysia boleh belajar daripada Persatuan Bola Sepak (FA) Thailand yang mengambil pendekatan untuk tidak memusatkan perlawanan melibatkan pasukan negaranya hanya di Bangkok sahaja.
3 Perkara Yang Malaysia Boleh Pelajari Daripada Penganjuran King’s Cup Di Chiang Mai
Kaedah tersebut bukan sahaja dapat memberi peluang kepada penyokong-penyokong di bandar atau daerah lain jauh dari ibu negara untuk menonton aksi skuad kebangsaan mereka, tetapi ia turut memberi kesan positif dari sudut ekonomi dan sosial kepada masyarakat di lokasi venue kejohanan dilangsungkan.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman ketika temubualnya berama Harian Metro telah mengesahkan empat stadium sebagai alternatif iaitu Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Stadium Hang Jebat, Melaka dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Berdasarkan senarai tersebut, venue manakah yang patut dijadikan gelanggang bagi skuad Harimau Malaya untuk mendapatkan keputusan terbaik, sekaligus menamatkan penantian 12 tahun untuk menjulang gelaran pasukan terunggul di rantau Asia Tenggara ini?
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur
Stadium yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras ini menjadi gelanggang rasmi untuk beberapa pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur (KL) City ini, PDRM dan Skuad Projek FAM-MSN.
Jika mengambil kira kapasiti stadium ini yang hanya mampu memuatkan 18,000 orang, sudah pasti ia bukanlah pilihan yang sesuai bagi membangkitkan semangat pemain dengan ‘aura’ penyokong, apatah lagi untuk mewujudkan suasana ‘menggerunkan’ buat pasukan pelawat.
Baru-baru ini juga stadium berkenaan dilaporkan tidak menepati piawaian pihak Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) untuk dijadikan gelanggang perlawanan akhir Piala AFC disebabkan beberapa isu teknikal.
RASMI: Bukit Jalil Jadi Gelanggang Final Piala AFC, VAR Akan Digunakan
Lokasinya yang hanya terletak sekitar 10 kilometer (km) dari SNBJ dan berpusat di ibu kota juga menjadikan matlamat untuk memberi peluang kepada penyokong di luar Lembah Klang menikmati aksi skuad kebangsaan tidak tercapai.
Stadium Hang Jebat
Gelanggang ‘keramat’ bagi pasukan Melaka United ini mempunyai 40,000 kapasiti tempat duduk dan pernah dijadikan venue perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia iaitu menentang Macau pada Mac 2016 dan berdepan Syria pada Ogos 2017.
Skuad kebangsaan Syria juga pernah menggunakan stadium di Kerubong ini sebagai gelanggang ‘tuan rumah’ mereka untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2018 disebabkan pergolakan dan peperangan yang sedang memuncak di Timur Tengah.
Syria (jersi merah) menentang China (jersi kuning) pada perlawanan Kumpulan A, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Hang Jebat pic.twitter.com/PtPjzGPFxs
— BERNAMA (@bernamadotcom) June 13, 2017
Maka tidak hairanlah mengapa FAM memasukkan stadium ini dalam senarai venue alternatif memandangkan ia juga adalah lokasi yang sesuai untuk menarik penyokong di bahagian selatan Semenanjung Malaysia hadir memberi sokongan kepada skuad negara.
Imej Melaka sebagai ‘Bandar Bersejarah’ yang menjadi destinasi pilihan percutian keluarga di setiap musim cuti sekolah penghujung tahun juga mungkin sedikit sebanyak akan mempengaruhi pemilihannya.
Stadium Sultan Mizan
Seandainya FAM berhasrat untuk mula membawa aksi skuad Harimau Malaya ke bandar-bandar lain di seluruh tanah air, pemilihan venue ini adalah yang terbaik untuk dipertimbangkan.
Lokasinya adalah yang paling strategik untuk menarik kehadiran penyokong setia pasukan kebangsaan di kawasan Pantai Timur semenanjung.
Status Terengganu yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, seni bina dan kebudayaan tentunya mampu menarik pengunjung dari seluruh pelusuk negara untuk hadir ke negeri ini, seterusnya memberi impak kepada ekonomi masyarakat setempat.
Berdasarkan kapasiti tempat duduk pula, Stadium Sultan Mizan merupakan stadium kedua terbesar di Malaysia yang mampu memuatkan 50,000 orang penyokong – dengan mengetepikan status Stadium Shah Alam (80,000 tempat duduk) yang masih dalam proses naik taraf.
Meskipun pernah terpalit dengan episod duka runtuhan struktur bumbung kira-kira 13 tahun lalu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk memastikan stadium ini berada pada tahap yang memuaskan termasuklah keadaan rumputnya yang kini diakui antara yang terbaik di negara ini.
Stadium Sultan Ibrahim
Jika mahu mengambil kira semua ciri-ciri pemilihan, sudah tentu gelanggang rasmi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) ini akan mengatasi venue-venue lain dari segi banyak faktor.
Tidak perlu diperdebatkan, dengan kapasiti 40,000 tempat duduk, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) mempunyai fasiliti serba moden dan lengkap yang menepati setiap piawaian yang diperlukan untuk perlawanan di peringkat antarabangsa.
Teknologi rumput di stadium ini juga jauh mengatasi venue-venue lain di mana ia mempunyai sembilan lapisan yang dapat memberi jaminan air tidak akan bertakung sama sekali sekiranya berlaku hujan lebat yang berterusan.
SSI juga adalah stadium tanpa trek olahraga selain Stadium Tun Abdul Razak, Jengka yang menjadikan ia khusus untuk bola sepak.
Namun satu-satunya kekurangan venue ini adalah trafik dan akses keluar masuk yang seringkali menjadi masalah utama setiap kali berlangsungnya perlawanan. Malah ia telah beberapa kali menjadikan topik yang dibincangkan dalam pertemuan pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bersama penyokong setia skuad Harimau Selatan.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang dibentangkan di atas, FAM pastinya akan mengambil kira setiap faktor bagi memuktamadkan pemilihannya dan mengumumkan keputusan tersebut dalam masa terdekat.
Dengan kejohanan akan berlangsung kurang dua bulan dari tarikh hari ini, pemilihan venue perlawanan adalah amat penting kerana ia melibatkan kepentingan banyak pihak termasuklah para penyokong untuk membuat persediaaan asal seperti membeli tiket pengangkutan dan merancang perjalanan terutamanya bagi penyokong dari luar negara.
Walau apa pun pilihan FAM, diharapkan ia adalah yang terbaik untuk memastikan skuad negara mampu beraksi di tahap terbaik dengan sokongan padu ‘Ekor Harimau Sejati’.