FAM Sahkan Status Renan Alves Digantung Perlawanan Akhir Piala FA

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi mengesahkan status pemain import Kedah, Renan Alves yang tetap akan terus digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah dalam perlawanan menentang Felda United di pertandingan Liga Super sebelum ini.

Sebelum ini timbul pertikaian dan juga kekeliruan mengenai peraturan yang digunakan oleh FAM bagaimana seseorang pemain itu digantung perlawanan – terutama membabitkan perlawanan di pertandingan berbeza.

Dalam perlawanan pada 21 Julai lalu menentang Felda, Renan terlebih dahulu dilayangkan kad kuning pada minit ke-36 perlawanan. Pemain pertahanan itu menerima kad kuning kedua pada minit ke-74 sekaligus diarahkan untuk keluar dari padang.

Pertikaian dan tanda tanya mulai timbul apabila kes membabitkan Nuridzuan Abu Hassan dan Selangor – juga berlaku pada musim ini – tidak menerima hukuman yang sama.

Perbandingan diantara kes Nuridzuan dan Renan telah kami timbulkan melalui artikel: Status Kelayakan Renan Alves Beraksi Di Perlawanan Akhir Piala FA Terus Jadi Tanda Tanya.

Kenyataan FAM

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan FAM, Setiausaha Agung badan induk itu, Stuart Ramalingam berkata:

“Jika ingin dibuat perbandingan, situasi ini pernah juga berlaku atau dialami oleh beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah diterima mereka pada perlawanan liga, antaranya seperti berikut:

i. Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan Abd Radzak terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2013 menentang Kelantan selepas digantung dua perlawanan kerana kad merah diterimanya ketika perlawanan Liga Super 2013 bertemu Lions XII, seminggu sebelum aksi final itu. Rayuannya telah ditolak oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

ii. Pemain Liverpool, Luis Garcia dan pemain West Ham, Hayden Mullins kedua-duanya terlepas untuk beraksi pada Final Piala FA 2006 selepas digantung tiga perlawanan akibat kad merah diterima mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris. Biarpun telah menjalani dua penggantungan pada perlawanan liga, mereka tetap perlu menjalani penggantungan perlawanan ketiga pada aksi final berkenaan. Rayuan kedua-dua pemain untuk beraksi pada final itu telah ditolak.

Artikel 40

Mengenai kes Renan Alves, Stuart turut merujuk kepada Artikel 40 (2) (a) dalam Kod Tatatertib FAM iaitu berkaitan ‘Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan’, di mana ia jelas menyatakan penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan terakhir pertandingan tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.

Artikel 40: Membawa Ke Hadapan Penggantungan Perlawanan

2. Kecuali diputuskan sebaliknya oleh badan kehakiman, penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain di luar pertandingan (pertandingan berasingan) atau tidak dijalani ketika pertandingan tersebut di mana ianya ditujukan (pembatalan atau perlawanan terakhir bagi pertandingan tersebut) akan dibawa seperti berikut:

(a) Pertandingan-pertandingan FAM bagi pasukan dan kelab akan dibawa ke hadapan ke perlawanan rasmi pasukan atau kelab yang seterusnya.

Dalam melaksanakan apa jenis pertandingan di peringkat ini, konsistensi pelaksanaan peraturan dilihat sebagai sesuatu yang penting dan harus untuk mengelakkan pertikaian.

Di dalam kes Renan Alves, FAM tetap konsisten dengan peraturan yang sama seperti yang dilaksanakan pada enam tahun yang lalu.

Luis Garcia ketika beraksi bersama Liverpool.

Bagi kes Nuridzuan, beliau digantung perlawanan dalam perlawanan Liga Super seterusnya ketika menentang Melaka United pada 4 Mei.

Hukuman oleh Jawatankuasa Statut FAM terhadap Nuridzuan Abu Hassan.

Situasi berbeza dengan apa yang dihadapi Renan yang tidak lagi mempunyai baki perlawanan Liga Super. Perlawanan akhir Piala FA adalah perlawanan rasmi seterusnya untuk Renan.

Ini sedikit sebanyak menjelaskan mengapa penggantungan terhadap Renan diteruskan – kerana tiada lagi baki perlawanan Liga Super.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN