Quantcast

BERITA

FAM Sahkan Dua Pemain Kacukan Berpengkalan Di Eropah Minat Sarung Jersi Harimau Malaya

Selepas mengesahkan skuad Harimau Malaya akan diperkuatkan dengan kehadiran dua lagi muka baharu untuk memacu peluang negara untuk layak ke kejohanan antarabangsa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mendedahkan mereka sedang berusaha untuk membenarkan dua pemain kacukan untuk dinaturalisasikan – dalam usaha membenarkan mereka beraksi untuk negara.

Sebelum ini, bekas pemain Kedah dan Melaka United, Liridon Krasniqi dan juga penyerang utama Kuala Lumpur iaitu Guilherme De Paula diumumkan akan menjadi pemain kedua dan ketiga yang akan dinaturalisasikan untuk skuad kebangsaan.

Kini, dua lagi pemain berdarah kacukan yang berpengkalan di Eropah turut dikatakan berminat untuk menyarung jersi pasukan  kebangsaan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam seperti yang dilaporkan oleh Fox Sports semalam.

Dua pemain tersebut, salah seorang berusia 21 tahun dan kini sedang beraksi di Jerman. Manakala seorang lagi berusia 18 tahun dan beraksi di England. Kedua-dua pemain serius untuk dipertimbangkan oleh FAM dalam usaha memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

“Ya, ada dua lagi pemain kacukan yang turut kami perhatikan sekarang. Kami telah menghantar dokumen berkaitan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) [pada Selasa] untuk dipertimbangkan. Kita harus mendapatkan kepastian sepenuhnya mengenai dokumen tersebut, bahawa pemain-pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia,” ujar Stuart semalam.

Bagaimanapun identiti kedua-dua pemain tersebut tidak didedahkan.

Sebelum ini pemain muda sensasi Brighton berketurunan Malaysia, Jaami Qureshi dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia & Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun tidak boleh dipastikan butiran pertemuan tersebut.

Tetapi pemain skuad B-16 Brighton itu dilihat lebih kepada prospek jangka masa panjang oleh FAM.

“Setelah kami [FAM] mendapatkan pengesahan daripada pihak kerajaan, kami akan mengumumkan nama mereka,” ujar Stuart lagi kepada BERNAMA.