Quantcast

BERITA

Copa America 2019: Peru Cipta Kejutan Mara Ke Perlawanan Akhir, Malukan Chile 3-0

Copa America 2019 bakal menyaksikan perlawanan akhir dilangsungkan dengan tanpa pasukan yang ramai menjangkakan mereka akan terkandas di separuh akhir iaitu Chile.

Hal ini kerana, dikala ramai berasakan Chile tiada masalah untuk melepasi cabaran Peru di peringkat separuh akhir, semua tanggapan itu meleset apabila juara bertahan itu tewas mudah 3-0.

Menurut laporan ESPN, Peru tidaklah menguasai perlawanan ini secara sepenuhnya namun mereka mengambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol.

Permulaan buat Peru bermula baik apabila gol pada minit ke-20 menerusi jaringan Edison Flores yang melakukan rembatan voli menggunakan kaki kirinya.

Peru pulang ke bilik persalinan dengan membawa bekalan jurang sebanyak 2 gol apabila mereka mendapatkan jaringan kedua menerusi Yoshimar Yotun.

Gambar: FIFA World Cup

Beliau menggunakan kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Chile yang keluar dari posisinya untuk merembat masuk gol kedua Peru.

Di separuh masa kedua, Chile menggandakan asakan untuk mencari gol menerusi Arturo Vidal, Alexis Sanchez dan juga Eduardo Vargas.

Jean Beausejour hampir memperdayakan penjaga gol Peru apabila percubaan beliau melakukan hantaran lintang terus sahaja ke arah gol, namun ia dinafikan.

Sanchez yang beraksi baik di Copa America kali ini juga turut membuat percubaan namun ianya berjaya dihalang oleh penjaga gol Peru.

Kapten Peru, Paolo Guerrero memusnahkan hajat Chile untuk bangkit di masa kecederaan apabila berjaya menggelecek penjaga gol untuk menjadikan jaringan 3-0.

Di penghujung perlawanan, Chile berjaya mendapatkan sepakan penalti namun begitu teknik panenka oleh Vargas mudah dibaca dan ianya diselamatkan.

Peru akan menentang tuan rumah Brazil dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan pada pagi Isnin jam 4 pagi waktu Malaysia.