Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Skandal Cinta Tiga Segi Wanda Nara Yang Lemaskan Mauro Icardi

Plot cinta tiga segi sering kali mewarnai drama atau filem yang mewarnai siaran televisyen di Malaysia. Ia bukan perkara yang aneh kerana demikianlah citarasa tontonan rakyat Malaysia. Kebiasaannya ia dicampur adukkan dengan pelbagai perkara lain yang menjurus kepada cinta terlarang – sama ada dari segi moral atau kerana tentangan keluarga.

Demikianlah kisah cinta pemain bola sepak terkenal dari Argentina, Mauro Icardi dan Wanda Nara. Jika terdapat perbezaan diantara kisah cinta terlarang yang disiarkan di kaca televisyen, ia adalah kerana kisah Mauro dan Wanda adalah kisah benar. Berbeza dengan siri drama jam 7pm di siaran televisyen utama yang kebanyakkannya diadaptasi daripada novel,  kisah Icardi dan Wanda pula tertulis daripada bola sepak.

Karier awal Mauro Icardi

Ayuh kita singkap perjalanan karier Icardi. Mauro Icardi menyertai Barcelona pada 15 Februari 2008, kira-kira seminggu sebelum harijadi yang ke-15 untuk menyertai skuad B-17 kelab La Liga itu. Tiga tahun kemudian, beliau menyertai Sampdoria sebagai pemain pinjaman, sebelum diikat secara tetap oleh kelab Itali tersebut tanggal 16 Julai 2011.

Debut senior Icardi di Itali tiba pada 12 Mei 2012 – pada usia 19 tahun – dan beliau menjaringkan gol sulung untuk pasukannya dalam kemenangan 2-1 ke atas Juve Stabia.

Mauro Icardi ketika menyarung jersi Sampdoria.

Pada tahun yang sama, Icardi dipanggil menyertai skuad Argentina B-20, sebelum melakukan debut di Serie A bersama Sampdoria pada 26 September 2012 dalam perlawanan menentang Roma sebagai pemain gantian.

Icardi tidak memandang ke belakang selepas itu. Menjaringkan gol sulung di Serie A ketika membantu Sampdoria menewaskan Genoa 3-1 pada November 2012, Icardi terus mencuri perhatian apabila menghasilkan empat jaringan ketika membelasah Pescara 6-0 pada Januari tahun berikutnya.

Dipancing Inter Milan

Musim panas 2013, Icardi dipancing oleh Inter Milan dengan tanda harga €6.5 juta. Ia adalah nilai yang amat berbaloi pada ketika itu untuk seorang prospek yang sudah tampil dalam 33 perlawanan dan menjaringkan 11 gol di Serie A.

Dua tahun kemudian, Icardi diberikan peranan sebagai kapten pasukan buat pertama kali pada 23 Ogos 2015 dalam perlawanan menentang Atalanta. Menjaringkan gol ke-50 peribadi di Itali dalam penampilan ke-100 buat Inter Milan pada April 2016, cukup untuk mengisahkan karier hebat pemain ini di San Siro.

Inter Milan bagaikan pentas yang sudah tersedia untuk Icardi menampilkan bakatnya kepada dunia. Walaupun prestasi Inter tidaklah dianggap baik dalam tempoh beberapa tahun tersebut, Icardi adalah antara perkara positif yang I Nerazzurri miliki.

Pada 15 Oktober 2017, populariti beliau terus bertambah apabila menjaringkan hatrik untuk membenam seteru setempat AC Milan 3-2, sebelum menjaringkan gol pertama di pertandingan UEFA Champions League ketika menang 2-1 ke atas Tottenham Hotspur.

Kemudian pada tahun ini dunia bola sepak dikejutkan dengan kontroversi pemain ini enggan beraksi untuk Inter dalam perlawanan Europa League menentang Rapid Vienna – susulan pelucutan jawatan sebagai kapten pasukan.

Hubungan Icardi dan Inter kemudian menjadi keruh sehingga ke hari ini. Apakah yang berlaku di sebalik segala permulaan hebat pemain ini?

Jika disingkap garis masa karier Mauro Icardi sejak 2008, pemain ini sepatutnya sudah boleh dianggap sebagai antara bintang dunia pada hari ini – sebaris nama-nama hebat yang lain seperti Mohamed Salah, Harry Kane, Sadio Mane, dan ramai lagi. Setidak-tidaknya, Icardi mampu tampil sebagai penyerang paling berbisa di Itali. Namun bukan begitu kisahnya yang telah terjadi.

Cinta tiga segi

Untuk memahami punca kepada segala permasalahan yang dilalui oleh Icardi pada hari ini, kita harus kembali ke musim panas 2013 – sebelum perpindahan ke Inter Milan – ketika Icardi, Wanda Nara dan seorang lagi pemain, Maxi Lopez (ketiga-tiganya dari Argentina) menjadi watak utama plot drama cinta tiga segi.

Pernah beraksi bersama di Argentina bersama River Plate, kemudian di Sepanyol bersama Barcelona, dan kini Vasco Da Gama, Maxi Lopez adalah rakan sepasukan kepada Icardi di Sampdoria. Ketika itu Lopez sudah pun berkahwin dengan Nara selama enam tahun dan dianugerahkan dengan tiga cahaya mata.

Dari kiri: Wanda Nara, Maxi Lopez, dan Mauro Icardi

Lopez dan Icardi bersahabat baik, mungkin kerana kedua-duanya berasal dari Argentina. Persahabatan mereka membuatkan Icardi sering kali berkunjung ke kediaman Lopez. Lagipun pada ketika itu, Icardi dianggap seorang pemain muda, dan Lopez yang tua lapan tahun berbanding Icardi tidak lokek memberikan segala bantuan yang beliau boleh hulurkan demi membantu rakannya itu.

Namun musim panas 2013, dunia bola sepak Italo-Argentina dikejutkan apabila Nara secara terbuka mendedahkan rumah tangga yang beliau bina bersama Lopez sudah tamat. Beberapa hari kemudian melalui Twitter, Icardi pula secara terbuka mendedahkan cinta beliau kepada Nara.


“Te Amo, nunca me sera sencillo decir lo Q siento,” tulis Icardi di Twitter yang membawa maksud: “Wanda [Nara], saya cintakan kamu, tidak mudah untuk menjelaskan perasaan ini.”

Sukar untuk membayangkan bagaimana Icardi yang bersahabat baik dengan Lopez meluahkan rasa cinta terhadap Nara – secara terbuka – hanya selepas beberapa hari rumah tangga bersama Lopez dikatakan runtuh.


Plot drama melibatkan kes curang, pihak ketiga dan rumah tangga pemain pasti akan sentiasa menjadi tumpuan peminat dan media. Perlawanan diantara Inter dan Sampdoria di Genoa pada April 2014 menjadi tumpuan. Lopez seperti dijangka enggan berjabat tangan dengan bekas sahabat baiknya itu selepas apa yang berlaku dengan rumah tangga yang beliau bina.

Namun perkara itu tidak menganggu fokus Icardi yang menjaringkan dua gol untuk memastikan Inter menang 4-0 ke atas bekas kelabnya itu. Ia adalah perlawanan pertama membabitkan Icardi dan Lopez sejak skandal tersebut didedahkan kepada umum.

Perlawanan tersebut digelar ‘Wanda Derby’ oleh media dan peminat. Namun Icardi tidak pernah menyalahkan dirinya atau pun Nara untuk apa yang berlaku. Sebaliknya Icardi menuding jari kepada Lopez yang sentiasa mengabaikan keluarganya sebagai punca keretakan rumah tangga Lopez-Nara.

(Photo by Emilio Andreoli/Getty Images)

Di dalam tempoh lima tahun, karier Icardi terus berkembang, dan kini telah menjaringkan lebih dari 100 gol untuk Inter. Malah kelab Itali itu memasukkan klausa perpindahan bernilai €100 juta untuk pemain tersebut. Pada masa yang sama Lopez berhijrah dari Sampdoria ke Catania, Chievo, Torino, Udinese dan kini bersama Vasco da Gama di Brazil.

Gagal bersama Argentina

Di sebalik karier luar biasa di peringkat kelab, Icardi gagal menyerlah bersama Argentina. Tampil buat kali pertama untuk skuad senior negaranya pada 15 Oktober 2013, gol pertama Icardi di peringkat antarabangsa hadir dalam kemenangan 2-0 ke atas Mexico pada November tahun lalu.

Beliau hanya menyarung jersi skuad Argentina dalam lapan perlawanan, dan jaringan tersebut kekal sebagai satu-satunya jaringan Icardi untuk negaranya setakat ini. Apakah penghalang utama Icardi bersama Argentina? Terdapat beberapa teori berkenaan hal ini.

Antaranya ialah kerana Argentina sudah memiliki pemain penyerang lain yang sudah terbukti seperti Gonzalo Higuain, Sergio Aguero, Paulo Dybala, dan Lionel Messi. Namun penjelasan daripada Diego Maradona pada 2013 mungkin juga masuk akal.

“Setahu saya, Icardi adalah seorang pengkhianat. Dia pergi ke rumah seorang sahabat , berkawan baik dengan dia dan kemudian mencuri isteri sahabatnya itu. Saya gelar itu sebagai satu pengkhianatan.

“Ketika saya masih bergelar pemain, sekiranya ada rakan sepasukan yang menginginkan isteri pemain lain kami akan bertindak memukul dia beramai-ramai.”

Penjelasan Maradona ini seolah-oleh memberi refleksi kepada pandangan keseluruhan anggota-anggota senior pasukan kebangsaan yang diketuai Lionel Messi.

Bekas pemain, Hernan Crespo sebelum Piala Dunia 2018 pula menyifatkan Icardi tidak dipanggil menyertai skuad Argentina disebabkan oleh Messi. Beliau menyifatkan Icardi bukan jenis pemain yang Messi gemari – mungkin disebabkan penampilan individualistik pemain ini di dalam dan juga di luar padang.

Icardi sekadar boneka Nara

Icardi dan Nara berkahwin pada 2014, dan dikurniakan dengan dua lagi cahaya mata – menjadikan lima termasuk dari perkahwinan Lopez-Nara.

Ramai yang bertanggapan Icardi hanyalah sekadar boneka kepada isterinya Nara. Ini kerana Nara bukan sekadar isteri kepada Icardi, tetapi juga merupakan ejen kepada pemain tersebut.

. (Photo by Marco Luzzani – Inter/Inter via Getty Images)

Malah masalah diantara Icardi dan Inter Milan pada hari ini berlaku didakwa berpunca daripada Nara yang sesuka hati mengawal segala perkara, termasuk perihal kontrak suaminya itu. Kerisauan terhadap pengaruh Nara dalam karier Icardi pernah diluahkan oleh bekas pemain, Walter Zenga.

“Di zaman sekarang, anda tidak boleh membiarkan seorang ejen bercakap di setiap malam minggu, sebab ada peranan dan tugas lain yang perlu dilakukannya.”

“Saya percaya [Giuseppe] Marotta [CEO Inter Milan] sudah membuat keputusan yang tepat [mengenai Icardi] dan saya senang ia dilakukan,” kata Zenga.

MILAN, ITALY – OCTOBER 21: Mauro Emanuel Icardi of FC Internazionale embraces his wife Wanda Nara at the end of the Serie A match between FC Internazionale and AC Milan at Stadio Giuseppe Meazza on October 21, 2018 in Milan, Italy. (Photo by Emilio Andreoli/Getty Images)

Real Madrid turut dikatakan pernah menarik diri untuk melakukan bidaan terhadap Icardi kerana kesukaran melakukan rundingan bersama Nara, namun perkara itu dinafikan sendiri oleh beliau.

Ditanya mengenai laporan tersebut, Nara menjawab: “Mauro [Icardi] tidak ke Madrid disebabkan saya seperti laporan di Sepanyol, adalah tidak benar. Kami sangat menghormati Real Madrid.”

Penutup

Kini Inter Milan telah melantik pengurus baharu, Antonio Conte, dan Icardi sangat jelas turut tidak berada di dalam perancangan bekas pengendali Chelsea itu. Niat Inter Milan memburu khidmat Romelu Lukaku adalah petanda jelas masa depan Icardi di San Siro sudah pun tamat. Ke manakah hala tuju Icardi selepas ini?

Juventus dikatakan membuka pintu perbincangan dengan Wanda Nara untuk khidmat Icardi. Mampukah kelab Turin itu memenuhi tuntutan ejen pemain itu kali ini? Atau adakah nama Mauro Icardi akan terus lemas dibuai oleh cinta wanita bernama Wanda Nara?