Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam hari ini tampil menjelaskan mengenai 2,800 keping tiket perlawanan yang tular – didakwa dijual oleh ulat tiket.
Sebelum itu sebuah posting di Facebook di atas nama Nur Iman Dzakirah atau nama sebenar pemilik akaun, Irawati Binti Abdullah menjadi tular di media sosial kerana memiliki tiket perlawanan akhir yang banyak dan dipercayai diperolehi terus dari badan bola sepak negara itu.
Berikutan perkara tersebut, FAM segera melakukan siasatan mengenai dakwaan ketirisan penjualan tiket perlawanan oleh wanita tersebut – seperti yang didakwa oleh kebanyakkan netizen.
FAM tampil penjelasan
Namun setelah semakan dilakukan, FAM mengesahkan tiket-tiket tersebut sebenarnya adalah peruntukkan khas untuk penyokong-penyokong Vietnam yang akan hadir ke perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Pihak FAM telah segera melakukan siasatan dan dengan ini mengesahkan bahawa Irawati hadir ke Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam bersama-sama delegasi dari Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) bagi mengambil tiket yang telah dibeli di bawah peruntukan untuk penyokong pasukan pelawat, Vietnam.
“Berdasarkan perjanjian antara FAM dan VFF, pihak FAM akan memperuntukkan sebanyak 3,000 keping tiket untuk dijual kepada penyokong Vietnam bagi Final 1 Piala Suzuki AFF 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam ini manakala pihak VFF akan memperuntukkan 3,000 keping tiket juga untuk dijual kepada penyokong Malaysia bagi Final 2 di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini,” ujar Stuart melalui kenyataan tersebut.
Sebagai langkah keselamatan, pemilik akaun Facebook tersebut dipercayai turut telah melakukan laporan polis, mendakwa dirinya difitnah oleh individu tidak bertanggungjawab.
Usah jadikan isu
Sehubungan dengan itu, Stuart turut berkata perkara berkenaan usah dijadikan isu kerana pembelian 2,800 tiket tersebut adalah sah khusus untuk penyokong pasukan pelawat.
Stuart turut menafikan tanggapan umum bahawa ianya diperolehi secara pukal oleh individu-individu tertentu untuk dijual kepada penyokong pasukan tuan rumah.