Selepas hampir 3 tahun mencuba, akhirnya Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail (TMJ) sempat mengusik Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail ketika sesi menandatangi MoU tersebut dengan bertanya, “Sudah berapa kali (PFAM) kena reject?”. Sambil tersenyum Izham menjawab, “Tiga kali.”
Dengan termeterainya MoU ini, FAM secara rasminya telah dan akan mengiktiraf peranan PFAM – terutamanya dalam aspek yang berkaitan dengan kebajikan dan pembangunan karier pemain.
MoU ini juga menandakan PFAM akan menjadi pemegang taruh dalam setiap penggubalan dasar dan polisi yang melibatkan pemain profesional di Malaysia.
Kandungan MoU
Antara kandungan MoU tersebut adalah berkenaan dengan:
- hak imej pemain
- prosedur pengurusan kes melibatkan pemain
- pendidikan karier profesional dan
- program persaraan pemain
Standard kontrak pemain akan dipertingkatkan
Antara isu yang sering dibangkitkan oleh PFAM sejak penubuhannya adalah isu gaji dan kebajikan pemain yang diabaikan pasukan.
Selain itu PFAM juga banyak kali menggesa FAM supaya menaik traf dan mengemaskini standard kontrak pemain.
Ketika ini, kontrak pemain boleh ditamatkan pada bila-bila masa atas klausa persembahan dan kecederaan. Kewujudan klausa ini dalam kontrak pemain di Malaysia jelas melanggar standard kontrak yang ditetapkan oleh FIFPRO dan diakui oleh FIFA.
Ketika mengulas isu ini Izham berkata, “Mulai tahun depan, kita akan mewujudkan template kontrak baru untuk pemain. Dengan ini, nasib pemain akan terbela.” Izham kemudiannya menyambung, “Selepas adanya MoU ini, isu-isu yang dibangkitkan oleh pemain boleh disuarakan melalui dialog yang lebih berstruktur.”
TMJ gesa kelab jangan halang pemain sertai PFAM
Sementara itu, TMJ juga menggesa pasukan-pasukan liga Malaysia supaya tidak menghalang kebebasan pemain untuk menyertai PFAM sebagai ahli.
Menjawab soalan wartawan berkenaan isu ini TMJ berkata, “Saya menggesa supaya pasukan-pasukan memberi kebebasan kepada pemain untuk menyertai PFAM. Ini kerana kita nak majukan bola sepak kita. Peranan semua kelab penting demi memastikan kejayaan ini.”
Izham turut menyokong pendapat TMJ dengan menekankan kebebasan berpersatuan adalah hak setiap manusia – dan itu termasuklah pemain bola sepak.